Rencana

‘Jangan pinggirkan Pontian dalam pelan ekonomi’

Pada 6 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) akan tetap diteruskan. Projek ini dijangka siap pada tahun 2020.

Difahamkan, stesen utama bagi laluan Gemas-Johor Bahru ini adalah Segamat, Kluang dan Kempas Baru. Sub-stesen pula terdiri daripada Labis, Bekok, Paloh, Renggam, Layang Layang dan Kulaijaya.

trackDalam laluan trek ini, stesen yang ada tidak meliputi kawasan Pontian, begitu juga dengan Batu Pahat. Namun demikian, jarak antara Batu Pahat dan Kluang tidak begitu jauh. Malah, jalan raya yang menghubungkan Batu Pahat dan Bandar Kluang sudah semakin baik.

Kami mempersoalkan perancangan ini yang mengabaikan daerah Pontian. Malah, agak pelik apabila Pelan Strategi Pertumbuhan Daerah yang dilancarkan tahun 2015 meletakkan Pontian sebagai kawasan Perlindungan Selatan (Southern Sanctuary) yang mana pembangunan ekonomi di Pontian menyasarkan prospek ekonomi berasaskan eko pelancongan, aktiviti maritim dan perikanan serta pembuatan ringan seperti pemprosesan makanan.

Prospek ekonomi daerah Pontian hari ini cukup besar dan meliputi industri perikanan, maritim, pertanian dan pelancongan. Malah Kukup adalah pintu masuk pelancong dari Indonesia.

Kelihatannya di sini pelan ekonomi kerajaan negeri tidak selaras dengan projek landasan kereta api berkembar elektrik ini.

Difahamkan projek yang menelan kos RM7 bilion ini akan menyediakan kemudahan kereta api laju dengan kapasiti kelajuan 140km sejam. Ia akan mempercepatkan jarak masa antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

pontianbOleh itu, kerajaan negeri harus memanfaatkan projek ini dengan sebaik-baiknya.

Saya mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk mengajukan kepada Kementerian Pengangkutan untuk membuat laluan tambahan (stesen tambahan) kereta api elektrik tersebut ke mana-mana kawasan di dalam daerah Pontian.

Ini akan memberi banyak faedah kepada warga Pontian. Daerah-daerah yang rancak aktiviti ekonominya seperti Pontian, Pekan Nenas dan Kukup seharusnya mendapat akses pengangkutan yang moden, cekap dan lengkap.

Ribuan pelancong setiap bulan datang ke wilayah ini atas pelbagai tarikan, sama ada pelancongan, pertanian, maritim mahupun perniagaan. Malah, rata-rata pelancong Singapura menjadikan Pontian, khususnya Kukup, sebagai alternatif tempat percutian, selain Johor Bahru.

Jika saranan ini dapat dipertimbangkan, saya yakin daerah Pontian akan lebih cepat membangun, malah ia akan menyumbang lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor industri yang ada di kawasan Pontian dan Tanjung Piai.

 

 

*Penulis merupakan Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor merangkap Penyelaras Parlimen Tanjung Piai