Rencana

Suara rakyat mampu membelah bumi

Pada 4 Mac 2016 Malaysia menyaksikan pemimpin negara dari kedua-dua belah jurang politik, masyarakat awam dan tokoh berpengaruh lain menandatangani Deklarasi Rakyat.

Mungkin perumpamaan “strange bedfellows” oleh Tun Dr Mahathir Mohamad adalah gambaran terbaik berkenaan pertemuan tersebut.  Yang pasti, pertemuan antara pemain utama politik negara itu merupakan peristiwa bersejarah bagi negara kita. Jarang sekali musuh ketat dalam arena politik hadir dan mencapai persetujuan untuk matlamat politik yang sama.

 

Matlamat yang lebih besar

Kita sama-sama menyaksikan mereka yang pernah dibuang daerah, didakwa dan dipenjarakan duduk bersama-sama dengan sosok utama yang menyebabkan keperitan tersebut. Tetapi mereka bukan duduk bersama kerana telah melupakan peristiwa lampau yang pahit mahupun memaafkan Mahathir, tetapi kerana mereka percaya terdapat satu matlamat yang lebih besar, iaitu untuk menyelamatkan negara Malaysia dan bangsanya.

Pasti ada segelintir pihak merasakan tidak senang dengan pertemuan ini. Sebahagian daripada saudara, rakan-rakan dan teman seperjuangan saya sendiri merasakan mereka dikhianati, kecewa dan tak kurang juga yang keliru. Ada yang melabel pakatan ini sebagai mirip kepada “pakatan tidak suci”, atau membuat perjanjian dengan “syaitan”.  Cukup lucu, saya juga yakin soalan yang sama turut ditanya oleh penyokong Datuk Seri Najib Razak – “syaitan” dalam kes ini berubah bergantung kepada pihak mana anda berada. Saya memahami  tindak balas, gundah dan amarah yang mereka pamerkan. Saya juga percaya mereka tidak patut disalahkan.

Pertemuan ini mengingatkan saya kepada  pertemuan tiga kuasa besar “The Big Three” pada Persidangan Yalta 1945. Pada hari-hari terakhir Perang Dunia Kedua, Presiden Franklin D. Roosevelt daripada Amerika Syarikat, Perdana Menteri Winston Churchill daripada United Kingdom, dan Joseph Stalin, diktator Kesatuan Soviet, juga dikatakan sekumpulan “strange bedfellows”, telah duduk semeja merancang, merekabentuk dan membuat keputusan mengenai strategi terakhir menewaskan  Jerman dan Jepun.

Walaupun kepercayaan serta keyakinan mereka berbeza, bagai langit dengan bumi, matlamat perang yang sama antara pemimpin kuasa besar tersebut menjadi pemangkin kepada pengakhiran Perang Dunia Kedua dan meletakkan titik noktah kepada kesengsaraan dan penderitaan yang dialami seluruh dunia ketika perang tersebut.

Apa yang kita lihat pada Jumaat lepas di Malaysia bukanlah perkara baru. Sebenarnya, kita telah melihat banyak pakatan yang tidak disangka-sangka dalam politik Malaysia. Pada tahun 1990, DAP bekerjasama dengan pemberontak di dalam UMNO Tengku Razaleigh Hamzah, manakala pada tahun 1999 DAP bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kedua-duanya adalah orang kuat UMNO tetapi selepas kejatuhan mereka di dalam parti Melayu itu mereka mencapai titik persamaan bersama pakatan pembangkang.  Jika politik Malaysia telah mengajar kita satu perkara, ianya tidak pernah surut dengan kejutan politik. Apa pun, kita perlu sering meletakkan matlamat yang lebih besar sebagai keutamaan tertinggi.

 

Peranan rakyat

Deklarasi Rakyat 4 Mac membuktikan bahawa perpaduan di luar jurang partisan didorong oleh kepentingan bersama adalah suatu kemungkinan. Namun ini gagal difahami oleh pemimpin rejim pemerintah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak juga berkata walaupun Deklarasi Rakyat disokong oleh 58 individu, ianya tidak menggambarkan atau mewakili suara 30 juta rakyat Malaysia. Menurut logik itu, dia harus dapat memahami bahawa sebuah kerajaan yang kehilangan undi popular dalam pilihan raya umum ke-13 pastinya tidak mewakili suara majoriti pengundi rakyat Malaysia.

Persoalan seterusnya ditanya oleh rakyat Malaysia ialah sama ada deklarasi tersebut membawa apa-apa impak ataupun kesan kepada situasi politik dan pentadbiran Malaysia. Kita tidak boleh memandang rendah terhadap tekanan besar-besaran rakyat Malaysia. Tekanan daripada segenap pihak telah banyak menyebabkan perubahan dasar dan perletakan jawatan pemimpin di seluruh dunia.

Umpamanya, Presiden Richard Nixon menjadi satu-satunya Presiden Amerika Syarikat yang meletakkan jawatan kerana tekanan daripada orang ramai dan pemimpin parti beliau disebabkan skandal Watergate. Jeneral Saw Maung di  Burma mengalami tekanan perasaan melampau sehingga berteriak mengatakan diri beliau adalah penjelmaan semula Raja wira Kyansittha semasa kejohanan golf di Rangoon.  Saw Maung amat tertekan selepas menerima tekanan dari rakyat Burma dan komuniti antarabangsa selepas tewas di dalam pilihanraya tahun 1990 kepada National League for Democracy yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi, langsung merendahkan martabat beliau sebagai perdana menteri.

Pada tahun 2013 pula, menteri-menteri Turki meletak jawatan daripada jawatan Kabinet selepas tekanan awam meningkat berikutan siasatan rasuah. Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Ahmad Badawi semua meletakkan jawatan kerana tekanan awam. Sekurang-kurangnya pemimpin-pemimpin budiman ini tahu apabila mereka tidak lagi popular lantas mengundur diri, tidak seperti pemimpin-pemimpin tertentu kita pada hari ini.

Walaubagaimanapun, untuk memaksimakan impak tekanan awam, sekadar sokongan dan dokongan tokoh-tokoh kebangsaan negara adalah tidak memadai. Penyertaan rakyat Malaysia adalah sama mustahak dalam menjayakan deklarasi ini. Lebih ramai rakyat Malaysia menyertainya, lebih besar pengaruh politknya.

 

Bukan agenda pembangkang

Selamatkan Malaysia bukanlah agenda politik pembangkang semata-mata. Ia  adalah perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia tanpa mengira kefahaman dan ideologi politik. Rakyat Malaysia boleh menzahirkan sokongan dengan menandatangani deklarasi tersebut, mula berbincang mengenainya di alam fizikal dan alam maya, utus gambar dan video menyuarakan sokongan, mengutuskan pendapat kepada media-media tempatan, cetak baju T, pelekat kereta dan sebagainya dengan menggunakan hashtag #DeklarasiRakyat #SaveMalaysia.  Yang paling penting, rakyat Malaysia harus memainkan peranan supaya supaya suara rakyat dapat membelah bumi bertuah ini.

Tanpa sokongan rakyat, deklarasi yang menjulang nama Rakyat ini, sebesar mana pun matlamatnya untuk menyelamatkan tanahair tercinta ini tidak akan  dapat diteruskan.

Saya mengakhiri tulisan ini dengan satu  kata-kata ramalan Stalin semasa Persidangan Yalta 1945:

“Ia tidak begitu sukar untuk menjaga perpaduan pada masa perang kerana ada matlamat bersama untuk mengalahkan musuh sepunya, yang jelas pada semua pihak. Yang sukar adalah tugas selepas perang apabila pelbagai kepentingan akan cenderung untuk memisahkan kesepakatan Kuasa Bersekutu. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa hubungan kita ketika aman adalah sekuat hubungan kita ketika perang.”

Memang ia sesuatu yang amat sukar dilaksanakan. Tetapi keadaan negara semakin teruk, dan hanya rakyat dapat menentukan apa yang rakyat perlukan. – Roketkini.com