Berita

Berani dan berprinsip, Mejar Zaidi dilantik pegawai penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang

GEORGETOWN, 17 JAN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, melantik bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad,  sebagai pegawai penerangan beliau kerana mengagumi kegigihan dan pengorbanannya dalam menegakkan kebenaran.

Mejar Zaidi sebelum ini dihukum buang kerja oleh TUDM apabila beliau bertekad mendedahkan apa yang didakwanya sebagai penipuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Zaidi ditugaskan untuk mengendali Agenda Ekonomi Saksama (AES), sebuah projek kerajaan negeri yang memfokus kepada mengurangkan jurang ketidaksamaan di kalangan masyarakat serta menghapuskan kemiskinan di negeri itu.

“Beliau (Mejar Zaidi) merupakan seorang yang berjaya mencapai cita-citanya. Justeru, saya yakin beliau mampu memberi inspirasi kepada golongan belia untuk meningkatkan taraf hidup mereka kerana ia adalah impian majoriti anak-anak untuk menjadi seorang juruterbang.

“Kita semua tahu, bukan mudah untuk menjadi juruterbang jet pejuang,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan pelantikan Zaidi, seterusnya menyaksikan upacara angkat sumpah jawatan dan ikrar Akta Rahsia Rasmi 1972 beliau di sini, semalam.

Menurut Guan Eng, Zaidi ialah seorang rakyat Malaysia yang teguh dengan prinsip sehingga berani membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan SPR sebelum ini walaupun tahu ia mungkin menjejaskan kariernya.

“Beliau seorang yang berprinsip, malah membayar harga mahal dan sedia berkorban bagi mempertahankan prinsipnya itu,” katanya.

Zaidi adalah Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Bahagian Kepala Batas, Pulau Pinang. – Roketkini.com