Berita

Taraf kerakyatan dan status pemastautin di Sabah perlu diberi tanpa pilih kasih

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Masih ramai anak-anak kelahiran Sabah yang tidak mendapat pengenalan diri walaupun bapa atau ibu mereka merupakan  warganegara Malaysia, termasuk dengan kes untuk mendapatkan status pemastautin tetap yang telah lama tinggal di negara ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin, berkata berikutan tiada pengenalan diri yang sah, ia telah menjejaskan kehidupan dan pencapaian mereka untuk melanjutkan pelajaran, bekerja, dan rawatan kesihatan.

“Saya memohon kementerian berkenaan supaya simpati ke atas nasib mereka ini. Janganlah pilih kasih. Masih ramai stateless Sabahan atau stateless Malaysian asal di negara ini yang masih tiada IC atau status penduduk tetap,” katanya dalam ucapannya di Parlimen semalam.

Menurut Jimmy, masalah status kewarganegaraan ini kebiasaannya berlaku akibat pendaftaran perkahwinan lewat, projek IC dan isu melibatkan agama yang akhirnya menyebabkan anak-anak kelahiran Sabah tidak mendapat hak untuk mendapatkan pendidikan dengan sempurna.

“Saya ingin beri satu contoh anak Rakyat Sabah yang masih tidak dapat status warganegara walaupun bapa asal dari Sabah iaitu dalam permohonan William Wong Kat Hung (umur 20 tahun), Lily Wong (18 tahun) dan Ling Ling Wong (17 tahun). Saya merujuk ketiga-tiga mereka ini seperti dalam surat JPN bertarik 29 Januari 2016, Nombor Rujukan JPN.WN:163/1/459/1-2015 Klt. 79 (12).

“Apa yang berlaku, William, anak berusia 20 tahun itu tidak dapat sambung pelajarannya selepas SPM. Dimanakah masa depan mereka? Sudah beberapa kali mohon tetapi masih gagal,” kata beliau.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, seorang anak dari ibu bapa warganegara Indonesia telah mendapat kerakyatan dan kini menjadi salah seorang pegawai penguatkuasa kerajaan.

“Saya telah terima surat aduan yang mengatakan terdapat pendatang asing tanpa izin yang telah dapat kad pengenalan. Namanya Abdul Mukti, dengan nombor surat beranak dari tawau TWU 1715/76. Bapanya bernama (Muklis) Muchlish Sitanggang dan ibunya bernama  Elfi Hanum.

“Kedua dua ibu bapanya berasal dari Indonesia. Muklis Sitanggang sudah mendapat kad pengenalan bernombor H 801-7883 dan Elfi Hanum pula dapat bernombor H-801-7884. Saya tidak tau samada kad pengenalan ini palsu atau tidak. Saya minta kerajaan siasat.

“Kemudian, anak mereka Abdul Mukti ini telah dilantik sebagai salah seorang pengarah di sebuah jabatan kerajaan di Kota Kinabalu. (DBKK enforcement department),” kata beliau.

Menurutnya, syarat pelantikan dan perkhidmatan seseorang calon dalam peraturan pegawai Awam Negeri Sabah 2008, hendaklah Warganegara Malaysia yang mana salah satu seorang ibu atau bapanya hendaklah berasal dari Sabah.

Tanpa ada sebarang niat buruk mendedahkan perkara itu, Jimmy berkata, tujuannya supaya semua pihak insaf terhadap nasib yang telah menimpa anak-anak dengan ibu bapa yang berasal dari Sabah.

Selain itu, beliau juga meminta supaya kerajaan mempermudahkan permohonan status penduduk tetap kepada warga luar yang berkahwin dengan rakyat tempatan yang telah lama menetap di Malaysia memberi satu lagi contoh melibatkan kes puan Arimah Tandi berasal dari Indonesia.

“Puan Arimah telah menetap bersama suaminya yang berasal dari Sabah lebih 40 tahun tetapi masih tidak dapat status Penduduk tetap, apa lagi status warganegara. Kes ini pun sudah dibuat permohonan beberapa kali.

“Hati saya berasa amat-amat sedih dan sayu. Di saat kerajaan minta rakyat cintakan negara, tetapi masa yang sama, masih ramai rakyat yang lahir, yang sudah berpuluh-puluh tahun di negara ini, anak-anak rakyat tempatan, masih banyak yang gagal dapatkan dokumen pengenalan diri- mereka ini semacam tidak dapat rasa kasihan dari kerajaan,” katanya, merujuk kepada kes seorang warga emas yang baru mendapat kerakyatan setelah berusia 107 tahun walaupun telah menetap di negara ini sebelum merdeka.

Jimmy juga mahu supaya mereka yang terlibat dalam kes melibatkan pendaftaran agama akibat kesilapan JPN, perlu diselesaikan oleh agensi tersebut tanpa menyusahkan mereka yang terjejas.

“Untuk kes yang melibatkan kesalahan pendaftaran agama oleh JPN, mereka terpaksa dirujuk dan pergi kepada Mahkamah Syariah. Saya anggap ini tidak adil kepada rakyat Sabah yang jadi mangsa kesilapan agensi kerajaan. Perkara ini bukan baru dan telah ini banyak berlaku,” kata beliau. – Roketkini.com