Rencana

DAP@50 – Terus berjuang

Sewaktu Dr Chen Man Hin dan pemimpin generasi pertama menubuhkan DAP, bersama Lim Kit Siang sebagai satu-satunya pekerja sepenuh masa parti pada 18 Mac 1966, peluang DAP untuk menang pilihanraya umum adalah sangat tipis, apatah lagi untuk membentuk kerajaan.

Seperti yang dikatakan Lim Kit Siang, DAP pada waktu itu “ketandusan ikon, wang (sumber) dan gelombang politik”. Musuh politik terdekatnya yang bertanding dalam ruang pembangkang yang sama adalah Gerakan (ditubuhkan pada Mac 1968) mempunyai tokoh-tokoh yang lebih terkenal seperti bekas Presiden MCA, Lim Chong Eu; tokoh akademik Dr Syed Hussein Alatas dan Dr Syed Naguib Alatas; tokoh pembangkang, Dr Tan Chee Khoon; tokoh kesatuan sekerja, V. David dan Yeoh Teck Chye.

Namun, DAP tetap kekal, bertahan dan terus wujud. Hari ini, kami meraikan ulangtahun ke- 50 Parti Tindakan Demokratik. Sepanjang 50 tahun itu, terdapat pelbagai kenangan yang sukar dilupakan; lebih banyak pengalaman yang pahit berbanding yang manis.

Penglibatan pertama DAP pada pilihanraya umum, iaitu pada 1969, menyaksikan parti yang tidak dikenali ini memenangi 13 daripada 104 kerusi Parlimen, menewaskan beberapa tokoh Perikatan. Namun kemenangan itu hanya sementara ekoran tragedi 13 Mei yang berlaku tiga hari selepas pilihanraya berkenaan, diikuti dengan penggantungan demokrasi berparlimen dan disusuli pula dengan tindakan keras yang menyaksikan Lim Kit Siang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 17 bulan.

Apabila Parlimen bersidang kembali pada Februari 1971, kebebasan politik telah disekat dan beberapa wakil rakyat DAP diumpan untuk menyertai parti pemerintah.

Era 1970-an dan 1980-an adalah tahun-tahun yang sukar walaupun dari segi pilihanraya, DAP sudah melakukan yang terbaik dalam pilhanraya umum 1978,1986 dan 1990, manakala mengalami kekalahan teruk pada pilihanraya 1974 dan 1982.

Pemimpin-pemimpin DAP sering menjadi mangsa penindasan politik, termasuk penangkapan besar-besaran melalui Operasi Lalang pada Oktober 1987 yang menyaksikan 16 wakil rakyat DAP ditahan di bawah ISA bersama 106 aktivis. Kemudian, hukuman penjara terhadap Lim Guan Eng selama satu tahun pada Ogos 1998 juga menjadi satu pengalaman pahit.

Sememangnya, kita harus mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dan ahli akar umbi untuk pengorbanan dan sumbangan mereka yang telah membentuk dan mengekalkan kedudukan parti sehingga kini.

DAP telah berjaya bertahan dalam tiga pilihanraya yang sukar – 1995, 1999, dan 2004. Malah, Lim Kit Siang dan Karpal Singh sendiri kalah dalam pilihanraya umum 1999.

Dalam banyak keadaan terdapat keraguan mengenai sama ada DAP akan dapat terus bertahan, lebih-lebih lagi pada awal era 1970-an, sejurus selepas pilhanraya umum 1982, dan tahun-tahun yang panjang dan sukar dari 1995 ke 2008.

Pilihanraya umum 2008 merubah parti daripada “parti pembangkang kekal” kepada sebuah parti yang mampu melibatkan diri dalam urusan kerajaan negeri dan menjadi salah satu rakan gabungan alternatif nasional.

Beberapa ciri-ciri yang saya sifatkan sebagai “DNA” memberikan kekuatan kepada parti untuk mendepani tahun-tahun yang sukar.

Pertama, DAP adalah sebuah parti yang berdasarkan ideal dan idea. Pemimpin serta ahli DAP dihidupkan dengan ideal dan idea; dan bukannya dengan kepentingan material ataupun ganjaran. DAP mempunyai kemampuan untuk berani bertahan dalam waktu-waktu yang sukar dengan bersikap pragmatik dalam pendekatannya, namun tetap teguh dengan idealismenya – kebebasan, keadilan, dan soladirati.

Tidak seperti kebanyakan parti yang memainkan isu kaum dan agama, DAP sentiasa komited untuk menawarkan idea dasar baru dan inklusif untuk membentuk Malaysia yang lebih baik.

Kedua, DAP adalah parti untuk rakyat biasa. Salah satu mercu tanda DAP adalah ia menjadi parti yang memperjuangkan hak rakyat biasa dalam masyarakat. Kebanyakan ahli kami adalah penjaja, peniaga kecil dan buruh, serta anak-anak mereka.

Kemampuan untuk melahirkan rasa empati terhadap golongan biasa ini memberikan DAP kekuatan yang besar yang seharusnya ditekankan, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menarik perhatian pelbagai kumpulan etnik. Bila orang lain membincangkan mengenai kaum, kita harus menunjukkan kepada mereka bahawa setiap rakyat Malaysia berhak untuk mendapat pekerjaan dan pendapat yang baik, tempat tinggal yang baik, pengangkutan dan penjagaan kesihatan, dan keselamatan dan sebagainya.

Ketiga, DAP bertahan disebabkan oleh penglibatan berterusan golongan muda. Lim Kit Siang dilantik sebagai Ahli Parlimen pada usia 28 tahun manakala Fan Yew Teng pula ketika berusia 26 tahun. Bahkan, Kit Siang dilantik sebagai Setiausaha Agung parti ketika berumur 28 tahun, sewaktu beliau dalam tahanan.

Sejak sekian lamanya, DAP telah memberi banyak peluang kepada golongan muda untuk menyerlah di pelbagai peringkat. Tidak seperti parti-parti lain yang terikat kepada sistem hirarki dan siapa yang lebih lama dalam parti, DAP lebih terbuka kepada idea-idea baru dan menerima golongan muda.

Terdapat banyak lagi ciri-ciri yang kemampuan DAP bertahan untuk berdekad lamanya, selain daripada apa yang saya senaraikan tadi. Kini apabila kami mula meneroka ruang politik baru, kami berharap lebih ramai lagi rakyat Malaysia dapat berganding bahu bersama-sama DAP untuk mencipta sebuah Malaysia baru untuk semua.

Terus berjuang.

Selamat Ulang Tahun, DAP!

Liew Chin Tong

*Penulis adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Ulangtahun DAP ke-50 merangkap Ahli Parlimen Kluang