Berita

Tiga sebab DAP berdaya tahan selama setengah abad

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Walau difitnah dan diserang sepanjang penubuhannya sejak 1966, DAP yang terus maju sebagai wadah perjuangan untuk semua gender, kaum dan agama hari ini menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke-50.

Menyenaraikan tiga asas utama keupayaan DAP bertahan,  Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Ulangtahun DAP ke-50, Liew Chin Tong, berkata parti ini mempunyai ‘DNA’ khas yang melangsungkan hayatnya.

Pertama, DAP adalah sebuah parti yang berdasarkan ideal dan idea di mana pemimpin serta ahli DAP dihidupkan dengan ideal dan idea, dan bukannya dengan kepentingan material ataupun ganjaran.

Katanya, walaupun DAP bersikap pragmatik dalam pendekatan politiknya, ia tetap teguh dengan idealisme kebebasan, keadilan, dan soladirati.

“Tidak seperti kebanyakan parti yang memainkan isu kaum dan agama, DAP sentiasa komited untuk menawarkan idea dasar baru dan inklusif untuk membentuk Malaysia yang lebih baik,” ujarnya dalam perutusan ulangtahun ke-50 DAP hari ini.

Kedua, DAP adalah parti yang memperjuangkan hak rakyat biasa di mana kebanyakan mereka adalah penjaja, peniaga kecil dan buruh, dan anak-anak mereka.

“Kemampuan untuk melahirkan rasa empati terhadap golongan biasa ini memberikan DAP kekuatan yang besar yang seharusnya ditekankan, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menarik perhatian pelbagai kumpulan etnik.

“Bila orang lain membincangkan mengenai kaum, kita harus menunjukkan kepada mereka bahawa setiap rakyat Malaysia berhak untuk mendapat pekerjaan dan pendapat yang baik, tempat tinggal yang baik, pengangkutan dan penjagaan kesihatan, dan keselamatan dan sebagainya,” tambah beliau.

Ketiga, DAP bertahan atas penglibatan berterusan golongan muda di mana parti iti telah memberi banyak peluang kepada generasi tersebut untuk menyerlah di pelbagai peringkat.

Menurut Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang, DAP lebih terbuka kepada idea-idea baru dan menerima golongan muda berbanding parti-parti lain yang terikat kepada sistem hirarki dan amalan senior.

Beliau berharap rakyat dapat bersama dengan DAP dalam usaha parti itu meneroka ruang baru politik bagi mewujudkan sebuah Malaysia yang lebih baik. – Roketkini.com