Berita

UPM halang tayangan filem dokumentari, cemar semangat intelektual universiti

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Universiti tidak ada hak menyekat diskusi idea di kalangan mahasiswa dan patut bersikap lebih terbuka serta meraikan budaya dialog di institusi pengajian tinggi bagi menjana idea-idea baru dalam masyarakat.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof, mengecam keras tindakan Universiti Putra Malaysia (UPM) menghalang tayangan dokumentari Viral, Sial yang telah memenangi anugerah di Freedom Film Fest Malaysia 2015.

Beliau berkata tindakan itu amat mendukacitakan dan mencemar semangat intelektual universiti itu, lebih-lebih lagi apabila tayangan itu dihalang selepas Naib Canselor UPM mendengar cerita buruk tentang Viral, Sial dari satu pihak sahaja, iaitu Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) seperti dilapor laman portal ISMA.

“Sebagai seorang Naib Canselor universiti ternama, beliau diharapkan bersikap terbuka, berjiwa besar dan menggalakkan budaya dialog di kalangan mahasiswa, dan bukannya cuma mendengar adu domba dari PEMBINA.

“Malah, PEMBINA itu sebuah pertubuhan yang ada kaitan dengan ISMA serta terkenal dengan amalan menyekat perbincangan pendapat dan takut akan persaingan idea,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Edry berkata demikian ketika mengulas tindakan UPM itu selepas menerima aduan dari PEMBINA kononnya dokumentari berkenaan mengangkat pemikiran yang merosakkan akidah umat Islam.

Menyifatkan tindakan UPM itu didasari syak wasangka, beliau berkata, pihak universiti sepatutnya lebih yakin dengan kemampuan mahasiswa untuk berbincang, berdebat dan mencabar pelbagai persoalan yang timbul dari mana-mana tayangan dokumentari.

“Universiti di Malaysia sebelum ini sudah terkenal dengan sikap sering menyekat program berbaur politik. Apabila tayangan dokumentari tersebut turut disekat, ia membuktikan bahawa mana-mana program menggalakkan perbincangan sihat walaupun tidak ada kaitan dengan politik tetap dihalang.

“Ironinya, dokumentari itu turut menampilkan Timbalan Presiden ISMA, Aminudin Yahya. Melalui dokumentari Viral, Sial itu, beliau dipuji para penonton atas sikapnya yang terbuka dan munasabah – berbeza dari persepsi buruk mereka terhadap ISMA sebelum ini.

“Malah, apa yang lebih ironi, sebuah dokumentari yang menekankan betapa terhadnya ruang diskusi di Malaysia disekat tayangannya oleh universiti, sebuah tempat berperanan menyuburkan perbincangan dan wacana sihat di kalangan anak muda.

“Ia membuktikan bahawa ini merupakan satu lagi usaha keras dalam membawa Malaysia memasuki zaman gelap,” katanya.

Viral, Sial merupakan sebuah dokumentari dibintangi oleh Edry sendiri, yang membincangkan tentang sebuah video yang suatu ketika dahulu pernah viral iaitu ‘Hudud: Isi periuk nasi?, dihoskan oleh pengacara BFM, Aisyah Tajuddin.

Disebabkan video berkenaan, Aisyah menerima ugutan rogol dan bunuh, justeru dokumentari tersebut menyingkap isu perbezaan pendapat dan ketakutan berkongsi idea dalam masyarakat negara ini. – Roketkini.com