Rencana

Berita palsu guna twitter untuk fitnah Guan Eng

Satu laporan polis telah dibuat berhubung ‘screenshot’ yang memaparkan suatu komen kononnya dimuat naik di akaun Twitter Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Jalan Patani pada 18 Mac 2016.

Gambar tersebut menunjukkan kononnya Lim Guan Eng telah membuat satu kenyataan dari akaun Twitter beliau yang berbunyi seperti berikut – “Saya akan ditahan dan disoal siasat SPRM petang ini. Berhubung kes rasuah dalam pembelian rumah mewah di Georgetown. Doakan saya.”

Gambar tersebut dikesan dimuat naik di dalam laman Facebook milik seorang individu yang dikenali sebagai H’ng Khoon Leng dengan komen yang berbunyi – “Guan Eng or his troopers trying to play the sympathy game…hahaha…I doubt SPRM is so fast, my 2009 SPRM report on the bungalow, still not yet interview me”. Gambar tersebut adalah sebagaimana dipaparkan di bawah

Screen Shot 2016-03-19 at 2.49.13 PM

Sebagai pegawai yang mentadbir akaun Twitter Guan Eng, saya telah dimaklumkan mengenai kewujudan gambar berkaitan pada 17 Mac 2016 sekitar 10.49 malam. Hasil semakan mendapati bahawa sememangnya tiada tweet sedemikian di dalam akaun Twitter Guan Eng.

Senarai tweet di dalam akaun Twitter YAB adalah sepertimana yang dipapar di pautan https://twitter.com/cmlimguaneng

Justeru, saya membuat laporan polis berhubung perkara ini kerana paparan dan komen tersebut merupakan suatu tindakan fitnah jahat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang boleh dan/atau akan: –

(a) menyebabkan orang dan masyarakat awam mempunyai prasangka buruk terhadap YAB berhubung dengan suatu isu yang tidak berasas. Dalam pada ini, komen-komen beberapa individu terhadap gambar tersebut seperti yang tertera di Lampiran 1 berbaur ugutan terhadap Guan Eng; dan

(b) merendahkan antara lain, kredibiliti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, Ahli Parlimen, pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta individu dari segi pandangan masyarakat awam. -Roketkini.com

 

*Ini adalah kenyataan akhbar Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Yap Lee Ying, di George Town pada 19 Mac 2016