Rencana

“Saya tidak percaya Najib seorang penyamun, jadi beliau perlu tampil dedahkan segalanya.”

Saya tidak percaya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seorang penyamun, jadi beliau perlu tampil di Parlimen minggu ini bagi mendedahkan secara telus dan bertanggungjawab mengenai skandal mega berkembar RM55 bilion 1MDB dan derma politik RM2.6 bilion melibatkan beliau.

Najib bukan sahaja harus menggunakan ucapan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi memberi penerangan penuh berkenaan dua skandal itu, malah, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga perlu menghilangkan segala keraguan mengenai kredibiliti dan profesionalisme agensi berkenaan apabila seorang Pengerusi “cari makan” yang dipaksa menjalankan siasatan penuh dan menyeluruh ke atas skandal Najib.

PAC sepatutnya memanggil Najib sebagai saksi utama dan memberi beliau peluang untuk menjawab segala persoalan dan keraguan timbul mengenai skandal mega berkembar tersebut. Malah, PAC harus mengambil satu langkah tambahan – siasat semua maklumat tentang skandal mega berkembar itu yang telah disiarkan di laman web Sarawak Report, tentukan mana artikel serta dakwaan Sarawak Report yang tidak berasas dan tidak benar, dan sahkan mana dakwaan yang benar dan tepat.

Malah, kerajaan pimpinan Najib perlu menarik balik sekatan akses ke atas Sarawak Report memandangkan sikap benar dan jujur merupakan cara terbaik menangkis segala pembohongan dan kepalsuan. PAC perlu menjemput pemilik Sarawak Report, Claire Recastle, untuk memberi keterangan kepada agensi berkenaan, malah, membayar tambang dan perbelanjaan beliau dari UK dan memberi jaminan bahawa tiada tindakan akan diambil ke atasnya semasa lawatan beliau ke Malaysia sebagai tetamu dan saksi PAC.

Beberapa orang telah memberitahu saya bahawa ucapan Najib di Kuantan yang mengatakan beliau bukan seorang penyamun mengingatkan mereka kepada ucapan Presiden Amerika Syarikat pertama yang terpaksa meletak jawatan, Richard Nixon, yang membuat penampilan di televisyen pada November 1973 semasa kemuncak skandal Watergate untuk memberitahu rakyat bahawa beliau bukan seorang penyamun – sembilan bulan sebelum beliau meletak jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk mengelakkan prosiding pemecatan di Kongres.

Tiada siapa fikir Najib mahu menjadi Nixon, dan inilah sebab mengapa saya berharap beliau akan berhenti berdiam diri berhubung skandal mega berkembarnya serta menerangkan segala kebenaran kepada rakyat Malaysia dan dunia supaya Malaysia tidak lagi tersenarai di tempat teratas di peringkat antarabangsa, sama ada untuk skandal rasuah paling teruk atau contoh rasuah global.

 

* Asas ucapan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, di ceramah kopitiam anjuran DAP Temerloh di Mentakab, Pahang pada 21 Mac 2016