Rencana

Segera siasat skandal rumah murah Guan Eng

Jenuh betul satu dua hari ini menangani serangan dari segenap sudut terhadap dakwaan rasuah dalam urusan pembelian rumah bernilai RM2.8 juta oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Saudara Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, melemparkan tuduhan ini di dalam sidang Dewan Rakyat, sambil dipagari kekebalan Dewan yang mulia itu, daripada diheret ke mahkamah atas tuduhan liarnya.

Apabila dijemput oleh Ketua Menteri untuk minum kopi dan bersembang-sembang di hadapan media Ahad lalu, Shabudin mengatakan dia tidak melayan politik ‘coffee break’ dan menempelak Guan Eng. Padahal orang semua tahu, dia tidak berani mengulang tuduhan terhadap Setiausaha Agung DAP itu tanpa kekebalan Dewan Rakyat, kerana risau diambil tindakan undang-undang.

Kita harus kasihan kepada Pengerusi Perda ini, yang dipergunakan untuk melancarkan serangan terancang terhadap Guan Eng, tanpa menyedari kesan serangan yang dilancarkannya itu ke atas diri sendiri.

Shabudin Yahya Pengerusi Perda, agensi yang memang kerjanya membina rumah di Pulau Pinang. Penduduk Tanjung Tokong misalnya masih berdendam dengan Perda, kerana merampas tanah dan rumah mereka atas nama pembangunan, dan untuk balasan yang langsung tidak setimpal.

Sama halnya dengan kekejaman pemaju-pemaju lain di seluruh Pulau Pinang yang mengambil peluang kejahilan penduduk dan sistem pendaftaran tanah negara yang tidak memihak kepada peneroka dan mereka yang membina kediaman atas ihsan orang dengan sewa nominal untuk berpuluh tahun lamanya.

Namun ini semua dilupakan kerana Ketua Menteri Pulau Pinang telah membeli rumah dengan harga yang tidak munasabah, dan harga itu dikaitkan dengan urusniaga tanah lain yang terkait dengan rakan kongsi niaga pemilik asal rumah berkenaan.

Dakwaan tersebut disambut Guan Eng dengan sikap ‘bak datang’ atau apa yang disebut orang Jawa sebagai ‘bring it on’. Dalam beberapa hari sahaja Guan Eng dilihat berjaya mengawal keadaan, bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa malah menjemput media untuk melihat sendiri kediaman peribadinya itu, yang tidak ada kolam renang.

Sekali pandang rumah Guan Eng ini biasa-biasa sahaja. Rekaannya juga nampak bosan, dengan laman yang suram dihiasi rumput kering. Kolam renang pun tak ada. Dari luar, memang tak kena dengan statusnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Berbeza dengan ketua-ketua menteri dan menteri-menteri besar di negeri lain yang punya rumah siap dengan dewan dan gelanggang tenis.

Dapur rumah Guan Eng juga biasa saja. Peti sejuknya cuma dua pintu, rak pinggan mangkuk juga plastik murah. Tidak semewah yang kita sangka, biasa sahaja. Cumanya kebetulan rumah yang bosan itu letaknya di Pulau Pinang, negeri tidak cukup tanah yang menyebabkan harga rumah melambung tinggi.

Namun sebenarnya apa dosa Guan Eng? Beli rumah dengan harga rendah walhal rumah di kawasan yang sama harganya lebih tinggi? Sedangkan rumah itu sudah disewanya sepanjang tujuh tahun lalu, dan baru dibelinya tahun lepas. Bila kali terakhir kita dengar ketua menteri duduk menyewa?

Berdosakah Guan Eng membeli rumah di Jalan Pinhorn, kawasan kelas atasan yang dibarisi rumah-rumah mahal? Adakah Guan Eng sepatutnya menyewa di Kampung Makam, Kampung Dodol, Kampung Siam, Kampung Pulau dan yang sewaktu dengannya supaya kelihatan merakyat dan marhaen? Adakah Guan Eng tidak patut punyai milikan peribadi kerana jiwa raganya milik rakyat jelata?

Banyak persoalan, pastinya. Namun setakat hari ini kita tahu bahawa Guan Eng tidak sembunyi apa-apa. Malah siasatan SPRM pun disuruhnya berjalan segera.

Dan kalau siasatan SPRM ke atas Guan Eng boleh berjalan laju, bagaimana pula dengan pemuka-pemuka Umno yang tidak kalah besar juga rumah mereka. SPRM tak mahu siasat dan kantoikan juga sepertimana kantoinya Khir Toyo?

Siasatan ke atas aliran dana ke akaun peribadi Perdana Menteri sudah selesai? Khabarnya tempoh hari disuruh rujuk semula ke Peguam Negara. Takkan lah terus sunyi sepi? – Roketkini.com