Rencana

“Duit Kita Hak Kita”: Amalan demokrasi peringkat akar umbi

Ketika dalam suasana perit, rakyat terpaksa menerima keputusan-keputusan kerajaan walaupun dihimpit dengan pelbagai cabaran semasa. Ketika ekonomi dunia dalam keadaan kabut, rakyat terpaksa rela menerima perlaksanaan cukai GST, dan terpaksa akur dengan perjanjian TPPA. Keadaan terpaksa ini adalah kerana rakyat tidak ada ruang untuk berpartisipasi dalam proses membuat keputusan tentang halatuju negara, kerana rakyat tidak dilibatkan sang pemerintah dalam memacu masa hadapan negara.

Hal ini bukan sahaja melibatkan soal dasar dan halatuju tetapi juga prasarana dan pembangunan dalam negara. Sebagai contoh, hari ini seorang pemimpin membina mercu tanda bangunan tertinggi dan akhirnya bangunan tersebut hanya bermanfaat untuk dirinya agar dikenang selepas bersara dan juga bermanfaat kepada beberapa orang hartawan di dalam dan luar negara. Walhal rakyat kebanyakan yang turut membayar cukai bukan sahaja tidak berpeluang  merasai manfaat bangunan mercu tanda tersebut, tetapi turut tidak terlibat dalam membuat keputusan tentang apa yang mereka inginkan dari cukai yang mereka keluarkan.

Memetik pandangan Ibn Khaldun tentang negara dan masyarakat, sejarawan Muslim abad ke-14 itu berpendapat bahawa berhubung dengan tabiat dan fitrah kejadian-Nya, manusia memerlukan masyarakat, ertinya kerjasama antara sesamanya untuk terus hidup. Sungguhpun ada perbezaan antara negara dan masyarakat, antara kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Negara dihubungkan dengan pemegang kuasa merupakan bentuk dari adanya masyarakat. Sebagaimana bentuk suatu benda tidak dapat dipisahkan dari isi, maka demikianlah keadaannya negara dan masyarakat.

Daripada pandangan Ibn Khaldun ini jelas bahawa peranan masyarakat (rakyat) tidak boleh dinafikan dan perlukan kerjasama antara negara (pemerintah) dan masyarakat (rakyat). Menidakkan rakyat dalam membuat keputusan adalah tidak wajar kerana melalui negara masyarakat  dan negara akan terus bergantung hidup. Projek “Duit Kita Hak Kita” boleh menjadi medium mengeratkan lagi antara hubungan dan komunikasi masyarakat dan negara seperti dinyatakan Ibn Khaldun.

Projek “Duit Kita Hak Kita” boleh dikatakan sebagai satu batu anjakan dalam proses demokrasi baru di dalam negara. Projek ini yang memerlukan pengundi Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk untuk turun mengundi terhadap projek prasarana di kawasan mereka. Setelah melalui fasa bancian terhadap keperluan penduduk dan fasa penilaian, akhirnya pada 25 hingga 27 Mac 2016 penduduk Machang Bubuk keluar mengundi untuk menentukan satu dari tiga  projek yang mana sesuai untuk dibina di kawasan mereka.

Program “Duit Kita Hak Kita” yang diinspirasikan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk, Lee Khai Loon, memberi pilihan kepada penduduk Machang Bubuk untuk membuat keputusan sama ada inginkan projek pusat pelancongan perkampungan, projek infra rakyat atau pembinaan gelanggang bola keranjang berbumbung. Dengan program seperti ini, penduduk sendiri membuat pilihan terhadap prasarana  yang mereka perlukan di tempat sendiri.

Proses ini secara tidak langsung mampu mewujudkan komunikasi dan tindakbalas penduduk terhadap pemerintah tentang apa yang mereka inginkan. Secara tidak langsung juga perkara ini membumikan lagi proses demokrasi yang sedang diamalkan negara.

Dengan wujudnya Projek “Duit Kita Hak Kita”, diharapkan idea seperti ini mampu dikembangkan di seluruh pelusuk negara agar rakyat tidak dinafikan hak dan keinginan mereka dalam bersama membangunkan negara. – Roketkini.com