Berita

‘Gelombang aneh’ cetus perubahan Selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Gabunganraya Selamatkan Malaysia mengorak selangkah lagi ke hadapan dengan pelancaran Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia bermula malam tadi dan akan menjelajah ke seluruh negara.

Tujuannya adalah untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terlibat dengan pelbagai skandal dan krisis negara yang membebankan rakyat, serta melaksanakan reformasi menyeluruh institusi awam.

Walaupun diadakan pada malam hari bekerja, kehadiran memberangsangkan ribuan pelbagai latar belakang dan kaum malam tadi membuktikan rakyat sudah sedar dan bersedia untuk perubahan.

Apa yang membanggakan, semangat untuk menyelamatkan Malaysia ini telah berjaya menggandingkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin-pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam ucapannya berkata, gabunganraya perlu kembali kepada asas Perlembagaan Persekutuan 1957 bagi memastikan reformasi institusi awam khususnya kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman yang bebas.

Katanya, selain menuntut penyingkiran Najib dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara, seluruh rakyat Malaysia melangkaui kaum, agama, budaya dan latar belakang perlu bersama-sama menjayakan hasrat Selamatkan Malaysia.

“Demi negara, rakyat Malaysia sama ada dalam komponen Pakatan Harapan seperti DAP, PKR dan Amanah atau 3.5 juta ahli UMNO dan satu juta ahli PAS perlu bersama-sama dalam satu wadah nasional untuk memastikan Malaysia menjadi negara yang dihormati masyarakat antarabangsa,” ujar beliau.

Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, pula menyatakan semakin ramai ahli UMNO meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Najib.

“Kita lihat semakin ramai, seorang-demi seorang pemimpin dan ahli UMNO menuntut presiden mereka (Najib) supaya meletak jawatan.

“Jadi saya ingin menyeru mereka supaya menyertai kempen Selamatkan Malaysia ini,” kata Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras.

Majlis itu juga menyeru rakyat Malaysia untuk menandatangani Deklarasi Rakyat yang dipersetujui bersama oleh gabunganraya Selamatkan Malaysia pada 4 Mac lalu bagi memastikan satu juta tandatangan diperolehi.

Kempen menarik sokongan rakyat untuk menandatangani deklarasi tersebut turut disuarakan oleh Dr Mahathir di majlis malam tadi.

“Perkara pertama yang kita perlu buat adalah untuk mengumpul orang yang berani untuk menandatangani deklarasi itu.

“Kita harus menjadikan ini sebagai gerakan rakyat, bukan hanya gerakan beberapa orang,” katanya. – Roketkini.com