Berita

Berbaloikah wang rakyat RM19 juta untuk 129 peserta tanam cili yang dikendali NGO berkaitan MIC?

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baru (NAAM) yang berkaitan dengan MIC, parti komponen BN, menerima dana kerajaan RM19 juta daripada Pejabat Perdana Menteri dan diselia Kementerian Belia dan Sukan untuk program latihan projek cili yang tidak efektif dalam pelaksanaan programnya.

Hasil pertemuan antara dua pemimpin DAP, iaitu Ahli Parlimen Sedang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar bersama Pengasas yayasan berkenaan, Datuk M. Saravanan, mendapati terdapat hanya 129 daripada 1,330 peserta program latihan berkenaan yang berjaya membuka ladang cili.

Kian Ming yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor berkata, peserta yang berjaya juga terpaksa membuat pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk memulakan usaha penanaman.

“Hanya 11 daripada 1330 peserta berjaya mendapatkan pinjaman daripada TEKUN untuk melaksanakan projek tanaman cili berkenaan.

“Mereka hanya boleh meminjam RM19,000 namun apa yang dianggarkan pengerusi NAAM berkenaan untuk memulakan penanaman cili memerlukan RM40,000.

“Ini bermakna sebahagian besar peserta program latihan NAAM yang terdiri daripada kaum muda India yang terpinggir dan memiliki modal yang kecil, adalah hampir mustahil untuk mereka untuk memulakan projek penanaman berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menjelaskan peserta yang terlibat terpaksa memohon pinjaman dari TEKUN memandangkan yayasan NAAM hanya menyediakan khidmat latihan dan bukannya modal permulaan untuk projek penanaman cili terbabit.

Jawapan berkenaan diberikan Saravanan sebagai maklum balas kepada persoalan Kian Ming: “Mengapa pihak NAAM perlu untuk membelanjakan begitu banyak wang untuk membantu petani cili apabila ramai daripada mereka boleh meminjam daripada TEKUN?”

Soalan tersebut ialah antara beberapa persoalan yang dibangkitkan Kian Ming dalam sesi perjumpaan selama lebih satu jam setengah itu di pejabat yayasan berkenaan di sini, hari ini bagi menuntut penjelasan pihak yayasan itu mengenai projek cili yang mengundang pelbagai persoalan berbangkit.

Sebelum ini, Kian Ming yang merujuk persoalan yang dibangkit Sivakumar di Parlimen mendakwa terdapat percanggahan kepentingan apabila yayasan berkenaan yang didaftarkan sebagai sebuah badan yang dikawal MIC.

Malah, Kian Ming menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika.

Pertemuan berkenaan dibuat selepas Kian Ming menerima cabaran Saravanan yang ingin membuktikan ketelusannya kepada umum dengan menjemput wakil rakyat DAP itu untuk menyemak segala dokumen berkaitan NAAM berhubung projek cili berkenaan. – Roketkini.com