Berita

Kumpulan ‘Baju Merah’ campak dan pijak memorandum DAP, enggan pandang ahli DAP Melayu

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Sekumpulan kira-kira 30 penyokong ‘Baju Merah’ diketuai Ali Tinju kecoh di luar Ibu Pejabat DAP hari ini kerana enggan menyerahkan memorandum mereka kepada wakil DAP dari kaum Melayu, Edry Faizal Yusof, sebaliknya berkeras mahu wakil DAP dari kaum Cina sahaja yang menerimanya.

“Kami mahu orang Cina keluar terima. Kami tak nak orang Melayu. Orang Melayu tak ada kaitan dengan ini,” kata salah seorang dari kumpulan berkenaan.

Memorandum itu antara lain mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bercuti berikutan kes pembelian rumahnya yang diputarbelit media.

Akibat keengganan mereka menyerahkan kepada Edry, DAP menghantar Ketua Pentadbir Ibu Pejabat, Chu Yoon Ming, sebagai wakil DAP menerima memorandum kumpulan pendesak itu.

memo3Edry adalah salah seorang pemimpin muda DAP yang merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Selangor merangkap Ahli Majlis Selayang sedangkan Yoon Ming adalah petugas pentadbiran.

Setelah itu, Yoon Ming menyerahkan pula sebuah memorandum dari DAP menyeru untuk turut serta dalam gerakan ‘Selamatkan Malaysia’ namun ia ditolak keras oleh Ali Tinju dengan mencampakkannya ke lantai dan memijak-mijak memorandum yang diserahkan secara baik kepadanya.

Selain melaungkan slogan-slogan anti pimpinan DAP, mereka juga dilihat memprovokasi dengan bahasa kasar dan berbaur ugutan.

Antara provokasi kumpulan itu ialah “Jangan sampai kita naik! Jangan kasi ‘asap’ ini bangunan”. Bagaimanapun, provokasi melampau mereka tidak menjadi apabila suasana ditenangkan oleh pasukan polis yang berkawal.

Menurut Edry, beliau kesal dan terkejut dengan sikap keanak-anakan yang ditunjukkan oleh kumpulan itu.

“Bila dia (Ali Tinju) tidak mahu serah memorandum itu kepada saya kerana saya Melayu, saya terkejut.

“Memorandum ni nak serah kepada DAP atau MCA? Takkanlah dia tidak tahu yang DAP adalah parti pelbagai kaum,” katanya kepada Roketkini.

Berhubung desakan kumpulan itu, beliau berkata tidak masuk akal meminta Ketua Menteri Pulau Pinang bercuti kerana beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan SPRM atau mana-mana agensi Persekutuan.

“SPRM ialah agensi Persekutuan, lainlah jika Perdana Menteri sebab beliau mempunyai kuasa ke atas agensi-agensi ini,” jelasnya. – Roketkini.com