Berita

“Jangan kasi ‘asap’ ini bangunan” – kumpulan diketuai Ali Tinju keluar kenyataan berbaur ugutan jenayah, polis ambil keterangan saksi wakil DAP

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Berikutan ucapan berbaur ugutan jenayah kumpulan ‘Baju Merah’ diketuai Ali Tinju ke atas Ibu Pejabat DAP Kebangsaan semalam, polis hari ini mengambil keterangan saksi bagi membantu siasatan.

Keterangan saksi diberikan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Selangor Edry Faizal Yusof dan Ketua Pentadbir Ibu Pejabat DAP, Chu Yoon Ming diambil oleh Assistant Superintendent (ASP), Khairil Idzwan Ahmad, Ketua Bahagian Siasatan jenayah, Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju.

Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat oleh kedua-dua saksi itu memandangkan insiden semalam telah dilaporkan sendiri oleh pihak polis.

Dalam kekecohan itu, antara kenyataan provokasi kumpulan yang diketuai Ali Tinju ialah “Jangan sampai kita naik! Jangan kasi ‘asap’ ini bangunan”.

Menurut Edry, beliau diminta pegawai penyiasat menceritakan semula kejadian semalam dan melahirkan rasa terhina dengan cacian melampau kumpulan pendesak pro-UMNO itu.

“Saya rasa terhina bila mereka keluarkan cacian dan makian serta gelarkan saya sebagai barua seolah-olah saya telah dipergunakan, sedangkan saya sendiri adalah salah seorang pimpinan muda parti,” katanya kepada Roketkini.com.

Tanpa mengetepikan hak seseorang atau sesebuah kumpulan untuk bersuara, Edry menjelaskan bahawa apa yang mahu disuarakan perlulah mengikut undang-undang dan perlembagaan.

“Kita hormati hak mereka untuk suarakan pandangan apa sahaja, cuma bila dia mula keluarkan kenyataan berbaur ugutan yang mengancam keselamatan kakitangan pejabat dan harta benda, di sini dia dah langkaui batas kebebasan bersuara,” ujarnya.

Memuji tindakan pantas polis membuka siasatan, peguam yang mengiringi mereka, Lim Lip Eng, berkata Edry dan Chu Yoon Ming kini adalah saksi dalam insiden tersebut.

“Kami berasa berbesar hati kerana kali ini polis bertindak pantas, bukan seperti dulu, selepas laporan dibuat, tidak ada tindakan.

“Tetapi sekarang, belum pun kita buat laporan polis, pihak mereka sendiri yang buat laporan. Pengadu adalah pihak polis dan apa yang berlaku sekarang saudara Edry dan encik Chu adalah saksi untuk membantu polis dalam aduan ini,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut.

Dalam laporan media hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan polis akan menjalankan siasatan terhadap kumpulan ‘Baju Merah’ berkenaan berikutan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah.

Perbuatan tersebut katanya merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Semalam, sekumpulan kira-kira 30 penyokong ‘Baju Merah’ diketuai Ali Tinju kecoh di luar Ibu Pejabat DAP ketika mahu menyerahkan memorandum mereka yang antara lain mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bercuti berikutan kes pembelian rumahnya yang diputarbelit media.

Kekecohan tercetus apabila mereka tidak mahu menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil DAP yang berketurunan Melayu sebaliknya berkeras mahu wakil DAP dari kaum Cina sahaja yang menerimanya.

“Kami mahu orang Cina keluar terima. Kami tak nak orang Melayu. Orang Melayu tak ada kaitan dengan ini,” kata salah seorang dari kumpulan berkenaan. – Roketkini.com