Berita

Isu Zakir Naik: Ramasamy mohon maaf

GEORGE TOWN, 12 APRIL: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang,  Dr P. Ramasamy, hari ini secara terbuka membuat permohonan maaf berhubung satu status di laman Facebook beliau berkaitan dengan pendakwah dari India, Zakir Naik, yang telah mengundang salah faham dan pertikaian pelbagai pihak.

Beliau yang juga Adun Perai mengakui telah memuat naik satu kemaskini dalam bahasa Inggeris di Facebook pada 10 April lalu dengan menggelar Zakir sebagai “Satan” (syaitan) kerana penceramah itu dikenali sebagai seorang yang menyampaikan ceramah berbaur kebencian terhadap agama lain selain Islam.

Ekoran itu, katanya, ia telah menjadi viral dan mengundang kemarahan pelbagai pihak sehingga beliau dituduh sebagai anti-Islam dan anti-Muslim.

“Pada hari yang sama, saya sedar bahawa penggunaan perkataan “Satan” itu tidak sesuai, maka saya padamkannya dari laman Facebook saya.

“Kemaskini saya itu bukanlah dilemparkan terhadap agama Islam atau penganut agama berkenaan. Ia hanyalah dituju kepada individu (Zakir Naik) terbabit.

“Saya amat menyesali jika penggunaan perkataan “Satan” itu telah mengundang rasa tidak senang dan kemarahan umat Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, beliau tidak berniat jahat kerana beliau amat menghormati semua agama di negara ini.

Tambah beliau, Malaysia merupakan negara pelbagai kaum dan agama, justeru kedudukan semua agama harus dihormati dan dimartabatkan. – Roketkini.com