Berita

Mengapa sekat pemimpin pembangkang ke Sarawak jika BN yakin menang?

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Sekatan terhadap kemasukan pemimpin DAP ke Sarawak jelas membuktikan bahawa BN semakin gusar dengan kebangkitan sokongan rakyat kepada parti pembangkang di negeri itu.

Ketakutan BN itu merupakan sebab utama mengapa BN Sarawak sanggup melakukan apa sahaja untuk menang dalam pilihanraya negeri akan datang, termasuk menyalahgunakan kuasa autonomi imigresen negeri tersebut.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata walaupun DAP menyokong kuasa autonomi imigresen Sarawak, parti itu tidak bersetuju sama sekali dengan tindakan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menyekat pemimpin pembangkang ke negeri itu.

“Apabila ramai pemimpin parti DAP disenaraihitam dan disekat masuk ke Sarawak, ia akan memberi kesan kepada kempen pilihanraya kami.

“Adenan mula menunjukkan taring sebenar. Apabila tiba saat-saat genting seperti sekarang, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk melindungi dan mengekalkan kuasa,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching.

Sementara itu, Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping, berkata tindakan Adenan itu melanggar prinsip demokrasi serta membuktikan bahawa beliau takut untuk bertanding secara adil dalam pilihanraya negeri sehingga sanggup menggunakan kuasa autonomi imigresen Sarawak untuk kepentingan BN.

“Seksyen 67 dalam Akta Imigresen dengan jelas menyebut bahawa seseorang tidak boleh dinafikan haknya untuk masuk ke Sarawak atas tujuan melibatkan diri dalam aktiviti politik yang sah.

“Tindakan Adenan jelas melanggar undang-undang,” katanya.

Sabtu lalu, dua lagi orang penting DAP iaitu Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan pereka maskot DAP, Ooi Leng Hang, dihalang dari memasuki Sarawak. Pemerhati berpendapat ia berikutan sokongan rakyat negeri itu yang semakin kukuh kepada DAP.

Hari ini pula, beberapa media melaporkan bahawa BN dijangka hilang 21 kerusi dalam pilihanraya negeri Sarawak akan datang hasil kajian dari penganalisis, penyelidik politik dan temubual dengan pengundi.

Antara kawasan yang diuar-uarkan bakal dirampas oleh parti pembangkang dalam pilihanraya kali ini adalah Dudong, Batu Lintang, Bukit Assek, Pujut, Senadin, Telang Usan, Mulu dan Ba Kelalan. – Roketkini.com