Berita

DAP kesal pembatalan debat Guan Eng – Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Yang mencabar Lim Guan Eng untuk berdebat ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan; dan Guan Eng menerima cabaran itu tanpa syarat. Kini yang menarik diri daripada debat tersebut ialah Rahman Dahlan sendiri.

Sehubungan itu, Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke, kesal dan dukacita dengan keputusan TV3 untuk membatalkan debat di antara Ketua Menteri Pulau Pinang dan Rahman selaku Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada pada 19 April ini.

Katanya, alasan TV3 untuk membatalkan debat itu kerana menghormati pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Azam Baki, kononnya ia akan mengganggu siasatan isu tanah Taman Manggis dan banglo milik Guan Eng langsung tidak memberikan keyakinan kepada orang ramai.

Malah, menurutnya, alasan Rahman Dahlan pula kononnya tidak boleh mengingkari arahan Ketua Polis Negara dan SPRM kerana beliau adalah Menteri Kabinet dilihat sebagai “exit strategy” (jalan keluar) untuk mengelak daripada menyertai debat tersebut.

Dengan itu, jelas beliau, pembatalan debat itu memastikan tiada ruang kepada Guan Eng untuk membalas dan menjawab tuduhan-tuduhan liar terhadap beliau serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ditohmahkan oleh media arus perdana, khususnya TV3.

“Saya nak mengingatkan Datuk Rahman Dahlan dan pihak TV3 bahawa pada 30 Mac yang lalu, beliau (Rahman) telah diberi masa 1 jam melalui program “Soal Jawab” TV3 untuk melemparkan pelbagai tuduhan liar terhadap Guan Eng.

“Ini tidak termasuk laporan-laporan berat sebelah dalam isu ini yang dipaparkan dalam Buletin Utama hampir setiap malam dalam beberapa minggu yang lepas.

“Apakah ini tidak mengganggu siasatan pihak berkuasa? Apakah ini tidak prejudis? Mengapakah Datuk Rahman Dahlan diberikan kebebasan mutlak untuk ‘membicarakan’ Guan Eng melalui siaran TV3?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, apa yang beliau harapkan hanyalah satu peluang untuk Guan Eng menjawab dan memberikan penjelasan berkenaan isu Taman Manggis.

Katanya, penjelasan Guan Eng dalam debat yang sepatutnya diadakan itu amat penting kerana TV3 telah menjalankan kempen untuk memburuk-burukkan imej Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut sejak beberapa minggu lalu tanpa memberi peluang kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk menjelaskan kedudukan sebenar.

“Kami mengulangi pendirian bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sentiasa bersedia dan berani untuk berdebat dengan Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenai isu tanah Taman Manggis dan pembelian banglonya.

“Peluang untuk beliau menjelaskan keadaan yang sebenar kepada orang ramai yang hanya menonton TV3 kini dinafikan dengan pelbagai sekatan.

“Biarlah rakyat menilai kredibiliti Datuk Abdul Rahman Dahlan dan melihat permainan politik kotornya untuk cuba menjatuhkan kedudukan politik Lim Guan Eng dengan melemparkan pelbagai tuduhan liar melalui media arus perdana dan menafikan hak Guan Eng untuk mempertahankan dirinya melalui saluran yang sama,” tambah beliau.

Menurut Anthony, beliau telah menerima pengesahan daripada pihak TV3 pada  14 April tentang program debat tersebut selama sejam yang sepatutnya diadakan pada jam 9 malam 19 April ini.

Sepanjang dua hari lalu, katanya, beliau telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak TV3 dan bersetuju dengan kebanyakan cadangan mereka mengenai format debat, masa yang diperuntukkan dan pilihan moderator. – Roketkini.com