Berita

Satu-lawan-satu penting untuk nafi majoriti dua pertiga BN Sarawak

SARIKEI, 18 APRIL: Jika sebuah kerajaan berkuasa mutlak tanpa suara pembangkang yang kuat, rakyat akan menjadi mangsa pemerintahan zalim dan rakus.

Sehubungan itu, rakyat Sarawak diseru mengundi pembangkang untuk menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional yang selama ini dipergunakan oleh kerajaan negeri bagi melakukan apa saja tanpa mengira pandangan rakyat.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata pemangku Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sudah pasti akan kekal memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas pilihanraya negeri pada 7 Mei depan.

“Apa yang belum pasti adalah sama ada pembangkang boleh menafikan majoriti dua pertiga Adenan dan BN di Dewan Undangan Negeri Sarawak,” katanya dalam satu forum kopitiam di Bintangor dekat sini malam tadi.

Beliau menjelaskan, memang sukar untuk melakukan usaha itu kerana ia bermakna pembangkang perlu menang sekurang-kurangnya 28 kerusi DUN, satu misi yang kelihatan mustahil.

Pada pilihanraya negeri 2011 yang lalu, pembangkang menang 15 daripada 71 kerusi DUN. Daripada jumlah itu, DAP memperolehi 12 kerusi manakala PKR 3. Kini, 71 kerusi DUN ditambah pula menjadi 82 selepas proses persempadanan semula.

Menyedari cabaran besar itu, Kit Siang menyeru semua parti-parti Pakatan Harapan untuk bekerjasama sebagai satu unit untuk mencapai sasaran “mustahil” itu.

Katanya, usaha itu boleh dicapai apabila setiap kerusi ditandingi secara satu-lawan-satu menentang BN, seperti yang telah dipersetujui bersama oleh pimpinan pusat Pakatan Harapan, tanpa mana-mana pihak melanggar persetujuan tersebut.

“Jika dengan Pakatan Harapan yang bersatu pun kita akan hadapi halangan besar untuk menafikan Adenan majoriti dua pertiga DUN, matlamat ini akan menjadi mustahil sama sekali jika Pakatan Harapan gagal bekerjasama sebagai satu pasukan,” ujar beliau. – Roketkini.com