Berita

DAP cadang tujuh langkah selesaikan masalah kesesakan Tambak Johor, Linkedua

SENAI, 19 APRIL: Kesesakan lalulintas di pintu Tambak Johor dan Linkedua tidak akan mampu diselesaikan untuk jangka masa panjang jika Jabatan Imigresen Johor hanya mengambil satu langkah, iaitu sekadar memastikan semua pegawai bertugas pada waktu puncak sahaja.

DAP Johor berpendapat masalah itu yang membebankan pengguna, khususnya rakyat Johor, dapat diselesaikan secara keseluruhan melalui tujuh langkah segera, termasuk melebarkan Tambak Johor serta membina walkalator/travellator (pejalan kaki automatik) berbumbung.

Setiausaha Publisiti DAP Johor, Wong Shu Qi, berkata Jabatan Imigresen Johor mempunyai 2,016 anggota di seluruh negeri, dan hampir 90 peratus atau 1,781 anggota telah dibekukan cuti mereka memandangkan kesesakan lalulintas yang teruk di dua pintu masuk imigresen tersebut.

“Dengan itu, jika sekadar memastikan pegawai bertugas di waktu puncak sahaja, ia cuma boleh menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas untuk jangka masa pendek kerana cuti mereka tidak boleh dibekukan selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain cadangan agar Tambak Johor dilebarkan dan membina walkator/travellator berbumbung, DAP turut mencadangkan agar kerajaan negeri:

  • Menurunkan kadar tol lori di pintu masuk Gelang Patah bagi menggalakkan lebih banyak syarikat logistik menggunakan Linkedua
  • Meninjau reka bentuk Bangunan KIK Johor Bahru
  • Berunding secara serius dengan pihak Singapura untuk memudahkan proses di pintu masuk sedia ada
  • Membentangkan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Johor yang akan siap pada tahun ini dalam dewan negeri agar ia boleh dibahas dan diperbaiki sebelum dilaksanakan
  • Menubuhkan satu jawatankuasa pengangkutan bi-partisan agar dasar-dasar pengangkutan boleh dirunding dengan lebih terperinci oleh Adun
  • Menawarkan perkhidmatan Bas Muafakat dalam seluruh wilayah di negeri Johor

Shu Qi yang juga Adun Senai berkata, perkhidmatan Bas Muafakat sedia ada cuma ditawarkan oleh empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terletak dalam Wilayah Iskandar, justeru ia tidak mencukupi dan mengabaikan penduduk di kawasan lain.

“Perbadanan Pengangkutan Awam Johor seharusnya melancarkan perkhidmatan ini di daerah lain secepat mungkin agar ia dapat memberi lebih banyak manfaat kepada seluruh rakyat Johor,” katanya. – Roketkini.com