Berita

IPIC henti rancangan selamatkan 1MDB, rakyat bakal tanggung hutang gergasi?

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Jika 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih gagal membayar hutangnya, tidak mustahil wang cukai rakyat Malaysia akan digunakan untuk membayar hutang anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan tersebut, kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.

Merujuk kepada pengumuman Petroleum Investment Company (IPIC) kepada Bursa Saham London semalam, beliau berkata, 1MDB dan Kementerian Kewangan gagal untuk membayar semula US$4.7 bilion kepada IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investment PJS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menjelaskan, US$4.7 bilion itu termasuk US$3.5 bilion bon yang terbit pada 2012, US$1 bilion pendahuluan yang diberikan IPIC pada Jun tahun lalu, dan US$200 juta faedah yang perlu dibayar untuk sehingga kini.

Ekoran itu, pelan menyelamatkan 1MDB yang sarat hutang terpaksa dibatalkan oleh IPIC akibat daripada pelanggaran obligasi dalam perjanjian melibatkan kedua-dua wakil entiti berkenaan, tambahnya.

“Kegagalan itu bukan hanya meletakkan 1MDB dalam kedudukan yang berisiko, tetapi kini bakal melibatkan ‘bailout’ (usaha menyelamat) daripada Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan IPIC kepada Bursa Saham London semalam yang menyatakan bahawa IPIC telah melaksanakan semua obligasinya mengikut perjanjian yang telah dipersetujui di antara 1MDB dan MOF dengan IPIC dan Aabar Investment PJS.

IPIC dilaporkan media sebagai menyatakan bahawa  “1MDB dan MOF telah gagal untuk melaksanakan pembayaran tertentu dan kewajipan lain yang perlu dilaksanakan kepada kumpulan IPIC menurut perjanjian berkenaan, termasuk kewajipan untuk membayar kepada IPIC AS$1,102,725,000 ditambah dengan faedah….Hasilnya, 1MDB dan MOF ingkar menurut terma perjanjian itu dan obligasi IPIC dan Aabar di bawah perjanjian itu telah ditamatkan”

Sehubungan itu, Tony menuntut supaya Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB tampil memberikan penjelasan terhadap kegagalan yang dihadapi syarikat itu dalam pelan pembayaran hutangnya.

“Beliau harus menjelaskan bagaimana 1MDB akan membayar dana yang dituntut segera oleh IPC sebanyak US$1.1 bilion.

“Najib juga harus jelaskan mengapa Ketua Audit Negara tidak dapat mengesahkan pindahan US$7 bilion, tunai dan aset di luar negara oleh 1MDB ekoran daripada kurangnya kerjasama daripada 1MDB,” ujarnya. – Roketkini.com