Berita

Kerajaan Pusat lepas tangan skandal Tanjung City Marina, cuba salahkan Kerajaan Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 19 APRIL: Kerajaan Negeri Pulau Pinang kesal dengan sikap tidak profesional Kementerian Pengangkutan yang cuba mengelak daripada bertanggungjawab ke atas skandal RM43 juta Tanjung City Marina dan kerja pemulihannya dengan menyalahkan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata tapak Tanjung City Marina dimiliki sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) yang dikuasai Kerajaan Pusat, dan bukannya kerajaan negeri.

Malah, katanya, Tanjung City Marina telah tenggelam sepenuhnya di laut pada 2012 bersama dengan perbelanjaan RM43 juta yang juga hilang kerana perancangan tidak rapi dan ketidaksediaan untuk membina pemecah ombak (wave breaker) seperti yang dicadangkan sebelum itu.

“Pihak SPPP dan Kementerian Pengangkutan telah berjanji untuk memulih dan membina semula Tanjung City Marina, tetapi sehingga ke hari ini semuanya tinggal janji kosong.

“Kami agak terkejut apabila isu hak milik tanah Swettenham Pier Cruise Terminal kini digunakan sebagai alasan walaupun ia tidak menjadi masalah semasa Tanjung City Marina dibina buat kali pertama pada 2005,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan Pulau Pinang enggan menjual tanah di Swettenham Pier Cruise Terminal kepada SPPP kerana tidak berpuas hati dengan pengurusannya dan ingin memegang hak milik tanah untuk tapak itu.

“Sebelum ini, SPPP telah mencabar keputusan kerajaan negeri ingin memegang hak milik tanah itu di Mahkamah Tinggi, tetapi mereka kalah dan tidak meneruskan sebarang rayuan.

“Lagipun, tapak Tanjung City Marina adalah milik penuh SPPP yang tidak pernah dipertikai oleh kerajaan negeri. Kami juga tidak menghalang sebarang kerja pemulihan atau pembinaan semula di situ,” katanya.

Menurut Guan Eng yang juga Adun Air Putih, jika pihak Kementerian mengemukakan alasan baru untuk tidak membina semula Tanjung City Marina dengan mengatakan satu pembangunan bersepadu yang menyeluruh dan merangkumi Tanjung City Marina perlu dibuat terlebih dahulu, mereka tidak patut mengabaikan tender terbuka mengenai rancangan itu seperti diutarakan bekas Pengerusi SPPP, Tan Sri Dr Chua Soi Lek sebelum ini.

“Jelas sekali bahawa SPPP ‘pukul mulut sendiri’ dan cuba menegakkan benang yang basah dengan menyalahkan kerajaan negeri dalam isu hak milik tanah di Swettenham Pier Cruise Terminal sebagai alasan mengapa Tanjung City Marina tidak dibina semula,” katanya. – Roketkini.com