Berita

Pengerusi PAC edit laporan sebenar, didesak betulkan semula

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Datuk Hasan Arifin, hari ini dipersoal kerana telah melakukan penyuntingan serius terhadap laporan sebenar PAC yang telah diluluskan oleh ahli-ahli jawatankuasa tersebut.

Wakil Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang dalam PAC, Tony Pua, berkata tindakan Hasan memotong ayat yang dipersetujui oleh mesyuarat PAC merupakan satu tindakan yang jelas melanggar peraturan mesyuarat dan menimbulkan kecurigaan terhadap niat pengerusi untuk menutup kes.

PAC dianggotai oleh 14 Ahli Parlimen, iaitu sembilan penyokong kerajaan daripada Barisan Nasional dan lima daripada pembangkang PKR, Amanah, DAP dan PAS.

Dalam satu sidang media bersama anggota PAC pihak Pembangkang di Parlimen hari ini, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara memetik Laporan PAC mukasurat 25 yang menyebut “Berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh Datuk Shahrol Azral pada 5 Jun dan kenyataan beliau semasa mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 25 November 2015, akaun tersebut adalah milik Good Star Std Limited yang merupakan subsidari Kumpulan PetroSaudi sejak 1 September 2009”.

Bagaimanapun, jelas beliau, Pengerusi PAC telah memotong sepatah ayat lagi yang telah disetujui bersama dalam mesyuarat, iaitu ayat yang berbunyi “Bank Negara Malaysia (BNM) telah dimaklumkan secara sukarela oleh pihak berkuasa negara berkenaan bahawa Good Star Std Limited merupakan sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang individu yang tiada berkaitan dengan Kumpulan PetroSaudi.”

Menurutnya, Pengerusi PAC juga tidak pernah membincangkan perkara tersebut dengan anggota PAC Pembangkang, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

“Jadi kami menyeru supaya Datuk Hasan Arifin memperbetulkan Laporan PAC serta merta melalui satu kertas pembetulan kepada Parlimen,” tegas Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu.

Selain itu, anggota-anggota PAC Pembangkang hari ini juga  mahu supaya Hasan tidak lagi berdolak-dalik seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu dalam laporan Ketua Audit Negara berhubung siasatan terhadap skandal mega 1MDB.

Mereka juga menggesa Pengerusi PAC menerbitkan kesemua Hansard yang tertunggak sekurang-kurangnya di dalam laman web Parlimen; ini kerana laporan PAC telah mengandungi Hansard prosiding PAC yang merakamkan segala soalan, jawapan dan pembentangan oleh saksi-saksi yang dipanggil jawatankuasa.

“Akan tetapi, Hansard yang merekodkan pembentangan dan perbincangan Laporan Ketua Audit Negara antara jabatan Audit Negara dengan PAC, dan perbincangan antara ahli-ahli PAC dan pegawai-pegawai kerajaan bertugas semasa menyediakan Laporan PAC,” jelas Tony.

Beliau merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 10(1) yang menyebut bahawa sebuah buku penyata rasmi mesyuarat mengandungi semua ucapan-ucapan yang dikeluarkan dalam Majlis Mesyuarat dan dalam Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat, hendaklah disediakan.

Mereka juga mahu supaya Pengerusi PAC memanggil mesyuarat secepat mungkin untuk membincangkan laporan terbaru melibatkan isu pembatalan perjanjian International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dengan 1MDB.

“Ini berlaku kerana 1MDB telah memberikan gambaran palsu bahawa pelan rasionalisasi syarikat telah berjalan dengan lancar dan 1MDB tidak akan memerlukan sebarang bantuan daripada kerajaan untuk menyelesaikan pinjaman-pinjamannya yang melebihi RM50 juta.

“Akan tetapi semalam, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Malaysia akan menanggung kesemua obligasi 1MDB yang tidak dapat diselesaikan oleh syarikat,” ujar beliau.

Justeru, Tony menegaskan bahawa anggota PAC Pembangkang sedia untuk bekerjasama dengan anggota PAC penyokong kerajaan untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada siasatan tambahan terhadap 1MDB.

Turut hadir dalam sidang media ini ialah Timbalan Pengerusi PAC, Dr. Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong; Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk kamarul Baharin Abbas; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Ken, dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Taqiyuddin Hassan.

Sementara itu, sewaktu sidang media berlangsung di lobi Parlimen tersebut, pihak media dikejutkan dengan teguran Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar yang meminta Pua bersama anggota PAC Pembangkang yang lain supaya melakukan sidang media di luar Parlimen.

“Jangan kacau semasa persidangan dewan (Dewan Negara),” kata Abu Zahar serius.

Sebagai menghormati Speaker, semua anggota PAC Pembangkang menyambung sidang media mereka di luar lobi bangunan Parlimen bersebelahan pintu masuk Dewan.

Tony bagaimanapun menjelaskan bahawa walaupun sesi Dewan Negara sedang berlangsung,  Ahli Dewan Rakyat juga berhak untuk menggunakan kemudahan bangunan Parlimen yang disediakan. – Roketkini.com