Berita

Hospital awam Sandakan tak cukup dewan bedah, ambulans dan mesin hemodialisis

SANDAKAN, 20 APRIL: DAP menggesa Kementerian Kesihatan memberi peruntukan kepada Hospital Duchess of Kent di sini dengan segera bagi menyediakan dewan bedah dan ambulans yang mencukupi,  membaiki lif yang rosak dan menggantikan mesin hemodialisis yang kini sudah usang.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong, berkata terdapat pelbagai peralatan hospital yang semakin tidak berfungsi, justeru melambangkan kegagalan kerajaan dalam menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang asas kepada rakyat.

“Saya diberitahu terdapat lima dewan bedah yang masih dalam proses pengubahsuaian setelah setahun dan hanya dua dewan bedah yang boleh digunakan. Jadi, pesakit mengadu bahawa mereka terpaksa menunggu lama untuk dibedah dan semakin menjejaskan kesihatan mereka.

“Oleh itu, kami menyeru pihak kerajaan agar menyiapkan pengubahsuaian itu secepat mungkin agar ia akan memudahkan proses pembedahan untuk pesakit-pesakit di sini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata, hospital Sandakan itu turut mengalami masalah kekurangan ambulans dan lif rosak yang membebankan pesakit, sedangkan jumlah pesakit di kawasan itu semakin bertambah.

“Saya pernah membentangkan isu ini sidang Parlimen tahun lalu semasa debat Bajet 2016. Amat mengecewakan apabila Kementerian Kewangan hanya meluluskan peruntukan RM500,000 untuk membaiki satu dari tiga lif yang rosak di hospital ini.

“Ketiga-tiga lif itu dibina pada tahun 1999 dan berada dalam keadaan uzur. Jadi, mengapa kerajaan seolah-olah terlalu miskin sehingga tidak mampu meluluskan peruntukan untuk membaiki ketiga-tiga lif tersebut?

“Ini masalah kesihatan dan nyawa rakyat,” katanya.

Menurut Stephen lagi, 18 mesin hemodialisis di Hospital Duchess of Kent turut berada dalam keadaan yang teruk dan perlu diganti, malah menyebabkan pesakit di situ terpaksa menjalani rawatan dialisis di hospital swasta.

“Kos rawatan dialisis di hospital swasta jauh lebih mahal berbanding hospital awam. Ia membebankan pesakit, malah mereka yang tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta terpaksa menunggu sehingga giliran mereka tiba.

“Saya berharap pihak kementerian sedar bahawa masalah kemudahan di hospital Sandakan amat memudaratkan dan menjejaskan kehidupan penduduk. Oleh itu, kerajaan perlu menaiktaraf kemudahan kesihatan di sini.

“Ia merupakan tanggungjawab asas pihak kerajaan untuk memastikan kemudahan kesihatan yang baik kepada seluruh rakyat,” katanya. – Roketkini.com