Berita

DAPSY kutuk serangan maut di Kabul, mahu anak muda tolak politik keganasan

IPOH, 21 APRIL: Sosialis Muda DAP (DAPSY) mengutuk keras sebarang perlakuan keganasan oleh mana-mana pihak tanpa mengira ideologi, termasuk insiden serangan bom oleh Taliban di Kabul, ibu negara Afghanistan, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 28 orang maut dan 200 lagi cedera kelmarin.

Serangan ganas yang mensasarkan pejabat perkhidmatan perisikan negara itu berlaku seminggu selepas Taliban mengumumkan permulaan penentangan musim bunga yang juga dikenali sebagai Operasi Omari.

Menyifatkan tindakan Taliban itu sebagai pengecut dan tidak berperikemanusiaan kerana mensasar orang awam, Setiausaha Biro Antarabangsa DAPSY Kebangsaan, Howard Lee Chuan How, berkata apa yang paling merisaukan ialah Taliban mempengaruhi dan mempergunakan anak-anak muda Afghan bagi meneruskan agenda jahat mereka.

Katanya, separuh populasi Afghanistan terdiri daripada remaja yang berumur bawah 18 tahun. Malah, hampir tiga perempat daripada penduduknya berusia kurang dari 40 tahun.

“Ramai anak muda Afghan kecewa dengan situasi politik di negara itu, terutama masalah ketidakadilan, salahlaku serta rasuah dan kekurangan kemudahan asas serta sokongan komuniti di sana.

“Disebabkan perkara itu, kumpulan seperti Taliban mengambil kesempatan dan mempengaruhi mereka agar menjalankan serangan ganas yang kononnya boleh memberi tekanan kepada pemerintah,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, langkah terbaik bagi menghentikan sebarang aksi keganasan ialah dengan memperkasakan dan memberi pencerahan kepada golongan muda tentang nilai-nilai kemanusiaan.

Pemerkasaan itu penting agar anak muda menjadi aktivis-aktivis yang mendukung prinsip keamanan serta menyebarkan nilai kemanusiaan dalam masyarakat mereka, tambah beliau yang juga merupakan Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa (IUSY).

Menurut Howard, DAPSY bersolidariti dengan semua pihak yang menjadi mangsa kepada serangan keganasan seperti ini.

“Malah, kami akan turut menyertai sahabat-sahabat dari IUSY dan Perikatan Progresif di peringkat antarabangsa bagi menentang ekstremisme di Afghanistan serta seluruh dunia melalui jalan aman,” katanya. – Roketkini.com