Berita

MP DAP selar kenyataan Menteri Nancy Shukri sokong larangan masuk ke Sarawak

KLANG, 25 APRIL: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, adalah tidak matang dan tidak masuk akal apabila beliau menyokong larangan kemasukan pemimpin-pemimpin parti pembangkang ke Sarawak, kononnya bagi mengekalkan keharmonian negeri itu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, tindakan kerajaan negeri Sarawak tidak membenarkan ahli-ahli politik pembangkang masuk ke negeri itu menafikan akses kepada pandangan alternatif, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Ia merupakan satu pukulan terhadap semangat pilihan raya bebas dan adil kerana ahli politik pembangkang tidak dapat berkempen dan mendidik pengundi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Antara pemimpin parti pembangkang yang dilarang memasuki Sarawak sebelum ini termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh; Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, Dr Afif Bahardin dan Abdul Malik Kassim; Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, semua pemimpin Barisan Nasional termasuk UMNO dari Semenanjung bebas masuk Sarawak.

Charles mempersoalkan sama ada pengharaman itu dilakukan kerana BN takut akan sokongan rakyat Sarawak yang semakin bertambah kepada parti pembangkang sejak pilihanraya negeri pada 2011.

“Adakah ahli politik dari BN, termasuk Nancy, takut pembangkang akan memenangi lebih banyak kerusi kerana mereka membuat banyak kemajuan sejak 2011, terutamanya kerana rakyat Sarawak bosan dengan kezaliman bekas Ketua Menteri pada masa itu?

“Kerajaan Persekutuan dan Najib kini hanya berharap kepada imej bersih Adenan Satem, namun Adenan semakin menunjukkan perangai sebenar memandangkan corak pemerintahan BN dan hegemoninya, di mana-mana pun, sama.

“Beliau (Adenan) masih tidak mampu menangani masalah jurang bandar-luar bandar, ketidaksamaan, kekurangan penjagaan kesihatan, hak-hak orang asal dan banyak isu lain,” katanya.

Menurutnya, selain melarang ahli pembangkang masuk ke Sarawak, BN turut menggunakan cara ‘kotor’ lain untuk memenangi pilihanraya negeri kali ini, termasuk mencipta sebelas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru, menjadikan jumlah kerusi yang dipertandingkan pada 7 Mei kepada 82 kerusi.

“Ia merupakan satu strategi yang tidak tahu malu, Tetapi untuk BN dan Najib, saya tidak fikir itu satu masalah bagi mereka,” katanya. – Roketkini.com