Berita

Hari Pekerja: Naikkan gaji minimum kepada RM1,200 sebulan untuk seluruh negara, kata DAP

KUALA LUMPUR, 1 MEI: DAP menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,200 setiap bulan dengan dilaksanakan secara sama rata di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Pada masa yang sama, DAP meminta supaya pekerja asing dikecualikan daripada cadangan tersebut untuk sekurang-kurangnya 5 tahun bagi membolehkan majikan tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (IKS), mempunyai masa untuk menyesuaikan diri.

Berikutan kenaikan kos sara hidup dan kos tambahan akibat pelaksanaan GST, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata gaji minima sekarang sebanyak RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 bagi Labuan, Sabah dan Sarawak adalah terlalu rendah.

“Sekiranya gaji penjawat awam boleh dilaraskan secara bulanan untuk menjadi lebih dari RM1,200, tidak ada sebab kenapa pekerja sektor awam tidak boleh mendapat manfaat yang serupa,” katanya dalam mesej Hari Pekerja 2016.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan juga wajar menawarkan bantuan kewangan yang sebaiknya kepada majikan tempatan dan IKS untuk menangani kenaikan kos daripada pelaksanaan gaji minima.

Beliau menjelaskan bahawa tanpa kos yang terlibat dengan skandal RM50 bilion 1MDB, dana untuk majikan dan pekerja tempatan pastinya mudah didapati.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata DAP mengecam keingkaran (default) pertama kali dalam sejarah oleh sebuah entiti kerajaan, 1MDB, sebanyak USD1.75 bilion yang boleh membawa kepada pembayaran hutang sebanyak 0.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Jelas beliau, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) telah menjamin USD3.5 bilion daripada bon 1MDB dan berjanji untuk membayar faedah sebanyak USD50 juta tetapi berlaku keingkaran apabila USD50 juta itu tidak dibayar tepat pada masanya.

Sebagai ganti, tambah beliau, 1MDB pula sepatutnya memindahkan beberapa aset dan membuat bayaran berjumlah berbilion dolar kepada Aabar milik IPIC tetapi mengejutkan pula kerana IPIC mendakwa tidak pernah menerimanya langsung.

Menurutnya lagi, kenyataan 1MDB mengesahkan keingkaran bon USD1.75 bilion membawa kesan yang bukan sahaja melibatkan pemegang bon tetapi lebih daripada itu.

“Ini adalah keingkaran yang tidak pernah terjadi dalam sejarah sebuah entiti kerajaan, yang mana badan penasihatnya dipengerusikan Perdana Menteri sendiri, kerana ia akan mencetuskan keingkaran bersilang (cross-defaults) berjumlah berbilion dolar dalam bon-bon dan pinjaman-pinjaman lain milik kerajaan,” ujar beliau.

Guan Eng menjelaskan, Moody’s Investor Service menganggarkan Malaysia mungkin terpaksa membayar jumlah yang bersamaan dengan 0.5% daripada KDNK.

Beliau menambah, keadaan menjadi lebih teruk lagi jika liabiliti luar jangka negara akibat keingkaran 1MDB diambil kira, anggaran Moody itu boleh mencecah USD 7.5 bilion (RM30 bilion).

“Ini bersamaan 2.5% daripada KDNK Malaysia bagi tahun 2015. Ini juga bermakna tanpa skandal RM50 bilion 1MDB, tidak ada keperluan untuk mengenakan cukai GST terhadap rakyat,” ujarnya.

Malah, tambah beliau, tanpa skandal RM50 bilion 1MDB, gaji minimum boleh RM1,200 setiap bulan boleh dilaksanakan segera untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira wilayah (dengan tempoh penangguhan 5 tahun pengeculian pekerja asing).

Malah, tanpa skandal tersebut, kerajaan boleh memberi bantuan kewangan secepat mungkin bagi membolehkan majikan tempatan menyesuaikan diri dengan kenaikan gaji minimum itu. – Roketkini.com