Berita

Tujuh kerusi DAP di kawasan bandar dalam bahaya, jangan pecahkan undi pembangkang

SARIKEI, 1 MEI: Tujuh daripada 13 kerusi yang dipecahkan melalui persempadanan semula daripada 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dimenangi DAP dalam pilihanraya negeri yang lalu kini berada dalam ‘senarai bahaya’.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Barisan Nasional telah melaksanakan kempen mereka berasaskan kepada empat strategi:

* Kesan Adenan

* Kesan Najib

* Politik wang

* Politik intimidasi dan takutkan pengundi.

Katanya, kempen DAP pula dalam pilihanraya Sarawak berteraskan kepada dua strategi:

* Mempertahan dan memenangi kesemua 13 DUN yang dipecahkan daripada 12 kerusi DUN yang telah dimenangi DAP dalam pilihanraya negeri yang lalu, serta mencatat kemenangan di beberapa kawasan majoriti pengundi Dayak di 18 lagi kerusi DUN yang ditandingi DAP; dan

* Mempersiapkan DAP Sarawak untuk menyediakan rancangan bagi memenangi kerajaan negeri Sarawak dalam pilihanraya negeri ke-12 pada 2021 jika DAP berjaya memperlihatkan ia bukan sahaja mampu mempertahankan kerusinya di kawasan bandar di Kuching, Sibu, Sarikei, Bintangor, Bintulu dan Miri, tetapi juga mendapat sokongan di kawasan luar bandar seperti Tasik Biru, Mambong, Serian, Simanggang, Pakan, Mulu dan Murum.

Dalam satu kenyataan media di sini, beliau berkata, memang menggembirakan jika DAP berjaya menang beberapa kerusi luar bandar tetapi pada masa yang sama, amat mengecewakan jika DAP kalah di kawasan bandar, terutamanya jika hilang beberapa kerusi daripada 13 kerusi yang dipecahkan daripada 12 kerusi yang disandang oleh DAP.

Sehubungan itu, Kit Siang mahu mobilisasi kempen digerakkan segera kerana tujuh daripada 13 kerusi ini berada dalam ‘senarai bahaya’ di pertengahan kempen itu.

“Di Batu Kitang, misalnya, walaupun calon DAP, Abdul Aziz Isa, kini berada di depan, ada kemungkinan calon Barisan Nasional boleh menyelit untuk menang kerana undi pembangkang boleh berpecah.

“Cabarannya ialah sama ada jentera pilihanraya DAP dapat sampai kepada pengundi pembangkang untuk meyakinkan mereka bahawa undi mereka harus disatukan untuk disalurkan kepada calon DAP sahaja bagi mengelakkan perpecahan undi yang boleh memberi kemenangan kepada Barisan Nasional,” katanya.

Pada masa yang sama, tambah beliau, perlu ada mobilisasi sokongan untuk memastikan DAP boleh mempertahankan kesemuanya 13 kerusi yang dipecahkan daripada 12 kerusi asalnya di samping memenangi beberapa kerusi majoriti pengundi Dayak pada hari mengundi 7 Mei ini. – Roketkini.com