Rencana

Berani Ubah, Sarawak nantik apa gik? (Bahagian 1)

Versi Bahasa Melayu Sarawak

(Untuk versi Bahasa Malaysia, sila lihat di bawah)

Tinggal berapa hari jak lagik sebelum PRN Sarawak berlansung. Kinek tok semua parti yang bertanding sedang giat berkempen. Kamek sebagai anak Sarawak walaupun sik diam di sinun tapi tetap mengikuti perkembangan isu sepanjang tempoh berkempen tok.

Sebelum dari hari pernamaan calon ariya,nang macam-macam sekali jak program di polah di Sarawak. Najib nang kuang kuit jak ke sinun. Berita pasal Sarawak nang ada jak keluar lam tv. Siap ada program khas lagik ya dalam tv3 suku.

Jujur madah lah, bila hari penamaan calon hari ya,nangga nang banyak pertembungan kerusi antara sesama sidak pakatan harapan Pakatan Harapan nang geleng palak jak. Entah kenak benda ya terjadi ya kamek sik berani nak nyentuh lah. Cuma berharap benda macam tok sik lah akan jadi lagik di masa depan.

Berbalit kepada isu pilihanraya tok tek. Tahun tok bila ditangga banyak lagik sidak pembangkang yang dihalang masuk ke Sarawak. Dan kebanyakannya sidak yb YB dari DAP dan PKR. Kenak benda tok terjadi? Atas dasar apa sidak tok tek sik dibenar masuk ke Sarawak? Adakah sidak tok ncurik duit dari Sarawak? Adakah sidak tok udah memporakperandakan keamanan rakyat negeri Sarawak? Adakah sidak tok ada nganok Sarawak macam-macam? Atau sidak tok terlalu hebat sehingga kerajaan negeri Sarawak sik berani nak nyuruh sidak tok masuk sia.

Walaupun nang benar kerajaan negeri Sarawak ada kuasa untuk membenarkan siapa boleh masuk ke sia tapi salah guna kuasa tok nang sik patut berlaku. Udahlah sidak kerajaan negeri sik maok mendedahkan senarai nama nak kenak black list ya.

Jangan mikir semua ahli politik tok ada dapat duit derma 2.6 billion.Bukan sikit duit pakey meli tiket ya eh. YB pembangkang,sidak adalah ahli politik . Sama lah juak dengan ahli politik dari BN. Mun nak ngekot siapa lebih beciri perkauman tok bagus jangan disuruh sidak UMNO masuk. Sidak nakkah “MELAYU UNTUK MELAYU” ajak. Iboh lupak juak Tok Nan dirik pernah madah apa? Nya akan letak jawatan mun UMNO bertapak di Sarawak.

Jadi sepatutnya pada musim pilihanraya tok berik lah keadilan yang saksama untuk semua parti berkempen. Mun menar kita tok berpolitik secara matang. Mun benar Tok Nan tok berbeza dari Tok Uban. Sila buktikan kematangan anda Tok Nan. Kamek anak Sarawak cabar kitak untuk bertindak sewajarnya!

Berkenaan dengan isu yang dipakey semasa berkempen. Kamek secara peribadi rasa sik salah untuk makey beberapa isu nasional. Memang sik semua nya ada berkait ngan Sarawak, tapi isu kedak GST ya, memang berkait dengan seluruh rakyat Malaysia.

Kamek dirik mpun udah merasa impak GST masa nya baru dilaksanakan tahun ya tek sebab kebetulan kamek memang ada di Sarawak sepanjang 6 bulan  selepas GST ya. Keday yg selamak tok murah tempat berbeli barang keperluan jadi mahal. Mun sebelum tok macam-macam dapat dibeli kinek tok nak meli nak yg perlu pun berkira benar-benar. Ya untuk kawasan luar bandar. Mun nak bandar apatah lagik nak? Kos sara hidup nang tinggi. Tapi mun benar nak berkempen di Sarawak,seperti nak dipadah Tok Nan silalah guna isu tempatan. Isu tempatan mun nak dipakey nang banyak.

Paling utama ialah isu bekalan air bersih,isu jalan raya di pendalaman dan isu bekalan elektrik. 3 benda tok adalah benda asas keperluan manusia. Macam ney Sarawak dibawah pimpinan BN selamak 53 tahun masih belum selesei lagik isu tok? Giney rakyat di “rasuah” oleh sidak BN tok tiap kali nak pilihan raya? Berik tong biru. Polah majlis merasmi nak nurap jalan,majlis pecah tanah itu, engkah batu asas ini. Janji nya nak siap sekian sekian tarikh. Nya macam kisah speta besar Sri Aman ya. Sampey kinek sik jadi apa. Janji dari zaman Tok Uban jadi ketua menteri ya eh.

Iboh cerita nak lain. Ya cerita Pan Borneo Highway ya. Berapa kali rasmi dah. Siap nya ajak mala berubah berganti tahun. Bila di bangkit kelak lalu madah polah dirik gik mun pandey. Ya jawapan pernah kamek terimak ya dari pembantu ahli parlimen Batang Lupar. Masa ya kamek mangkit isu air rah parlimen nya. Isu bekalan air bersih adalah salah satu masalah paling utama di Sarawak. Sik tauk lah kenak sampey kinek, dah selamak 53 tahun diperintah BN kita masih mengalami masalah ya.

Sidak diam dibandar mungkin mikir tok saja jak kali kamek tok berbulak kah apa. Tapi kamek menar – menar harap kita pergi ke segala telok pisok dak kampong gak. Tangga ngan cerik dirik mpun apa dihadap orang kampong tok hamper setiap hari. Bukan saja molah cerita bah. Kamek tok dari kecik dolok sampey dah beranak tiga dah kinek tok, masalah air di parlimen Batang Lupar dan dun Beting Maro  masih sikda kesudahan.

Dan baruk tok, kamek nerimak berita yang tong biru nang galak diedarkan di seluruh kampong. Orang kampong tok nerimak ajak nak diberik. Sikda rugi nya ngambik. Tapi kinek tok sikda hujan, apa nak ditadah nak dikandang orang ngan tong biru ya?

Dan rasanya dalam tengah bulan Mac riya, jamban baru pun nak dirasmi di Kanowit. Apa benda keperluan gia pun baruk kinek kah nak diberik atau diperbaharui kepada rakyat?

(Bersambung)

 


 

Versi Bahasa Malaysia:

Berani Ubah, Sarawak tunggu apa lagi? 

Tinggal beberapa hari saja lagi sebelum pilihanraya Sarawak berlangsung. Kini parti yang bertanding sedang giat berkempen. Saya sebagai anak Sarawak walaupun tidak menetap di sana tapi tetap mengikuti perkembangan isu semasa sepanjang tempoh berkempen ini.

Sebelum dari hari pernamaan calon tempoh hari, pelbagai aktiviti telah dijalankan di seluruh Sarawak. Najib pula memang sentiasa ulang alik ke sana. Berita tentang Sarawak pula ada sahaja yang hendak dihebahkan di TV. Siap ada program khas disiarkan TV3.

Jujur saya katakan, apabila hari penamaan calon yang lepas menyaksikan pertembungan kerusi antara sesama parti Pakatan Harapan, saya hanya mampu menggeleng kepala. Entah kenapa perkara ini berlaku. Saya tidak berani sentuh. Saya cuma berharap perkara seperti ini tidak akan terjadi lagi pada masa hadapan.

Berbalik kepada isu pilihanraya. Tahun ini apabila diamati lebih banyak pihak pembangkang yang dihalang masuk ke Sarawak. Dan kebanyakannya adalah dari DAP dan PKR.

Kenapa hal ini terjadi? Atas dasar apa mereka ini dihalang masuk ke Sarawak? Adakah mereka ini mencuri duit dari Sarawak? Adakah mereka ini telah porak-perandakan keamanan rakyat negeri Sarawak? Adakah mereka ini mengeji negeri Sarawak? Atau mereka ini terlalu hebat sehingga kerajaan negeri Sarawak tidak berani untuk membenarkan mereka masuk?

Walaupun memang benar kerajaan negeri Sarawak ada kuasa untuk membenarkan siapa boleh masuk ke sana, salah guna kuasa ini tidak patut berlaku. Apalagi kerajaan negeri tidak mahu mendedahkan nama-nama yang disenaraihitamkan. Jangan fikir  semua ahli politik dapat duit derma RM2.6 bilion. Bukan sikit duit digunakan untuk membeli tiket kapal terbang.

Pemimpin pembangkang, mereka adalah ahli politik, sepertimana ahli politik dari BN. Seharusnya, mereka yang perkauman yang tidak dibenarkan masuk. Bukankah mereka menggunakan slogan “Melayu Untuk Melayu”? Jangan lupa Tok Nan sendiri pernah berkata bahawa beliau akan letak jawatan jika UMNO bertapak di Sarawak.

Jadi sepatutnya pada musim pilihanraya ini berilah keadilan yang saksama untuk semua parti berkempen jika benar kita ini berpolitik secara matang. Jika  benar Tok Nan ini  berbeza dari Tok Uban. Sila buktikan kematangan anda Tok Nan. Saya anak Sarawak cabar anda  untuk bertindak sewajarnya!

Berkenaan dengan isu yang digunakan semasa berkempen. Saya secara peribadi merasakan tidak salah untuk menimbulkan beberapa isu nasional. Memang tidak semuanya ada berkait dengan Sarawak, tapi isu seperti GST ini, memang berkait dengan seluruh rakyat Malaysia.

Saya sendiri sudah merasa impak GST ketika baru dilaksanakan tahun lepas kerana kebetulan saya memang berada di Sarawak sepanjang 6 bulan selepas itu. Kedai menjual barangan keperluan yang selama ini murah jadi mahal.

Jika sebelum ini macam-macam dapat dibeli, tapi kini untuk beli yang cuma perlu pun kena berkira. Itu untuk kawasan luar bandar. Jika yang di bandar apatah lagi kan? Kos sara hidup memang tinggi.

Tapi jika benar mahu berkempen di Sarawak, seperti yang diberitahu Tok Nan, angkatlah isu tempatan. Isu tempatan kalau nak dinyatakan memang banyak. Paling utama isu bekalan air bersih, jalan raya di pedalaman dan isu bekalan elektrik. Tiga hal ini adalah keperluan asas manusia.

Bagaimana Sarawak di bawah pimpinan BN selama 53 tahun masih belum selesai berjaya mengatasi permasalahan ini? Bagaimana rakyat di “rasuah” oleh pihak BN ini setiap kali pilihanraya? Agihkan tong biru. Buat majlis perasmian plan menurap jalan, majlis pecah tanah itu, meletakkan batu asas ini dan seumpamanya.

Janjinya nak disiapkan sekian sekian tarikh.  Dah macam kisah hospital besar Sri Aman. Sampai sekarang belum jadi apa-apa. Janji dari zaman Tok Uban jadi Ketua Menteri dulu. Tak perlu bercakap soal lain. Cerita Pan Borneo Highway misalnya. Berapa kali sudah dirasmikan? Setelah sekian lama projek itu tak siap-siap.

Apabila dipersoalkan, kita pula yang disuruh selesaikan sendiri. Itu jawapan yang pernah saya terima dari pembantu Ahli Parlimen Batang Lupar. Ketika itu saya mempersoalkan isu air di kawasan Parlimen beliau. Isu bekalan air bersih adalah salah satu masalah utama di Sarawak. Namun tiada jawapan kenapa sehingga kini setelah 53 tahun diperintah BN rakyat Sarawak masih mengalami masalah sama.

Bagi mereka yang tinggal di bandar mungkin fikir ini cerita rekaan saya sahaja.Tapi saya benar–benar berharap kita boleh pergi ke segala ceruk-ceruk kampung. Lihat dan alami sendiri masalah yang dihadapi orang kampung saban hari. Bukan hanya kata-kata sahaja. Sejak kanak-kanak dulu sampailah kini saya sudah beranak tiga, masalah air di Parlimen Batang Lupar dan dun Beting Maro ini masih tiada berkesudahan.

Baru-baru ini pula, saya menerima berita yang tong biru sedang galak diedarkan di seluruh kampung. Orang kampung, mereka terima apa saja yang diberikan kepada mereka. Rugi jika ditolak. Tapi kini tiada hujan, apa yang mahu ditadah dengan tong biru itu? Dan rasanya dalam tengah bulan Mac yang lepas, tandas baru pun nak dirasmikan di Kanowit. Apa benda keperluan sebegini pun baru sekarang hendak diberi atau diperbaharui kepada rakyat?

(Bersambung)