Rencana

Liku-liku perjuangan DAP Sarawak

DAP Sarawak untuk mewujudkan masyarakat yang lebih adil, saksama dan demokratik bukanlah satu kembara yang mudah. Perjuangannya amat perit dan pedih sejak DAP bertapak di Bumi Kenyalang 38 tahun yang lalu. Ini bermakna sudah sembilan kali DAP bertanding dalam pilihanraya negeri Sarawak sejak 1978.

Untuk 18 tahun pertama kewujudannya, DAP terpaksa berhempas-pulas untuk mencatatkan kemenangan di Sarawak. Dalam tempoh 18 tahun itu, DAP Sarawak telah bertanding dalam empat pilihanraya negeri tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.

Memang benar DAP berjaya memecahkan tembok politik apabila menang dua kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum 1982 tetapi sasaran utama parti untuk bertapak di Sarawak melalui kerusi Dewan Undangan Negeri masih gagal dicapai pada masa itu.

Setahun selepas bertapak pada 1978, DAP mula menyertai pilihanraya negeri 1979 buat kali pertama (pilihanraya itu adalah yang ketiga dalam sejarah Sarawak), dengan bertanding di 11 kawasan DUN tetapi tidak berjaya memenangi sebarang kerusi.

Pada pilihanraya negeri 1983 pula, percubaan kedua DAP yang meletakkan 7 calon sekali lagi gagal menghasilkan apa-apa. DAP menambah kembali jumlah calon kepada 11 bagi menghadapi pilihanraya negeri 1987, namun percubaan kali ketiganya gagal sekali lagi tanpa sebarang kerusi.

Dalam percubaan DAP untuk kali keempat pada pilihanraya negeri 1991, ia merasa yakin untuk meletakkan 18 calon, tetapi keputusannya tetap sama – sekali lagi hampa kerana tiada apa-apa hasil.

Berkat kesabaran dan kegigihan pimpinan dan ahli DAP Sarawak, setelah 18 tahun, akhirnya sejarah dicatatkan dalam pilihanraya negeri 1996 apabila dengan hanya meletakkan 6 calon, DAP berjaya memecahkan tembok Barisan Nasional Sarawak dengan menghantar tiga ‘Wong’ – Wong Ho Leng (Bukit Assek), Wong Sing Nan (Pelawan) dan Wong Sing Ai (Kidurong) – ke Dewan Undangan Negeri Sarawak buat kali pertama.

Namun kejayaan itu tidak dapat bertahan lama kerana pada pilihanraya negeri 2001, DAP Sarawak yang meletakkan 13 calon hampir musnah apabila hanya seorang calon sahaja yang menang, iaitu Chiew Chin Sin yang menjadi Adun Kidurong.

Bagaimanapun, nasib kembali menyebelahi DAP apabila pilihanraya negeri 2006 membuka ruang untuk parti diterima kembali oleh rakyat Sarawak. Dalam pilihanraya itu DAP menang 6 kerusi DUN, dan mencetus semangat baru di kalangan pimpinan dan ahli parti di seluruh negara untuk menjayakan ‘tsunami politik’ dalam pilihanraya umum 2008.

Seperti yang diketahui umum, tsunami politik 2008 telah merobohkan mitos kekuatan BN yang kononnya tidak boleh tergugat apabila BN kehilangan 5 negeri – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan – serta BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Lanjutan semangat tsunami politik itu, rakyat Sarawak menyambung suara warga Malaysia apabila menghadiahkan DAP dengan 12 kerusi DUN dalam pilihanraya negeri ke-10 pada 2011. Kerusi-kerusi yang dimenangi itu meluas di seluruh Sarawak, termasuk di Miri, Sibu, Kuching, Sarikei, Bitangor dan Bintulu. Pengundi Sarawak mula berani menuntut perubahan politik dan pembangunan yang lebih bermakna untuk rakyat.

Kini, DAP sekali lagi berdepan dengan pilihanraya negeri Sarawak yang ke-11 di mana pengundi akan membuat pemilihan mereka pada 7 Mei ini.

Persoalannya, adakah DAP Sarawak dan pengundi Sarawak mampu mencatat sejarah dan mencipta keajaiban dengan matlamat serampang dua mata, iaitu mempertahankan 12 kerusi yang dimenangi pada 2011, dan memenangi beberapa kerusi di kawasan majoriti pengundi Dayak di kesemua 31 kerusi DUN yang ditandingi DAP?

Jika kedua-dua matlamat ini dapat dicapai, malah jika DAP berjaya menang di kerusi DUN Bawang Assan, maka Sarawak akan sekali lagi mencatatkan sejarah politik baru kerana DAP akan diperkasakan oleh suara rakyat untuk bekerjasama dengan kuasa politik Sarawak yang mahukan keadilan, demokrasi dan hak bagi menyediakan rancangan lima tahun untuk membentuk kerajaan baru pada pilihanraya negeri 2021.

Mampukah DAP Sarawak dan kuasa politik tempatan Sarawak yang berkongsi idea serta perjuangan mewujudkan kerajaan negeri yang baru pada 2021?

Jawapannya ialah, mengapa tidak. Sehingga hari ini, Pulau Pinang dan Selangor masih kekal ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan, dan bukan oleh UMNO-BN.
Jawapannya juga bergantung kepada keputusan pada hari mengundi 7 Mei ini. – Roketkini.com

 

*Penulis merupakan Ketua Parlimen DAP