Rencana

Wanita: Pandangan dari seorang anak muda muslim

Masih menjadi satu pegangan yang agak kuat bahawa wanita memainkan peranan “terbaik” mereka di rumah. Pegangan ini masih digigit kuat oleh gigi geraham golongan yang masih agak konservatif dan keliru dengan pengasingan peranan gender, hak individu mengembangkan potensi, tanggungjawab pasangan dalam memastikan kestabilan institusi keluarga dan penggunaan nama Islam atas penghujahan hal-hal ini.

Jika diamati, Islam tidak membezakan peluang beramal antara lelaki dengan wanita dalam mengejar keredaan dan pahala daripada tuhan:

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan” (16:97)

Sebagaimana kita sendiri tahu, ibadat tidak hanya terhad pada yang khusus. Berkerjaya dan memakmurkan ekonomi keluarga dan masyarakat demi kemaslahatan bersama juga boleh dirangkumkan bersama selagi mana diniatkan kerana Allah. Adakah hanya kerana pengelasan tugas yang ditakrifkan oleh budaya setempat (yang kebanyakannya lelaki) menjadikan wanita hanya eksklusif di rumah?

Mengikut atau melawan adat?

Bukan sekadar kedengaran kuno, malah hujah “suami bekerja, wanita di rumah” ini menjadi antitesis kepada salah satu sebab kehadiran Islam sendiri iaitu memberi semula hak kepada wanita untuk diperlakukan sebagai manusia meskipun melawan adat dan norma masyarakat ketika itu.

Sebagai contoh, pada ketika kedatangan Islam, wanita akhirnya mempunyai hak mewarisi harta pusaka mengikut kaedah faraid (sama ada pembahagian mengikut nisbah jantina atau budi bicara ahli keluarga) berbanding sebelumnya yang menyaksikan wanita dinafikan terus hak mewarisi pusaka. Malah empayar-empayar besar lain seperti Byzantium dan Rom pun tidak menawarkan hak yang sama.

Maka jika mahu diikutkan uruf dan adat, maka patutkah dahulu dibiarkan sahaja wanita tidak mewarisi harta hanya kerana tanggapan adat bahawa wanita tidak mampu atau layak mengurus harta?

Mungkin juga kerana banyak kisah nabi Muhammad dan sahabat serta riwayat hidupnya banyak diceritakan oleh lelaki apabila disampaikan kepada hadirin lelaki dan perempuan, maka kita kurang membincangkan betapa sebenarnya sahabat-sahabat dalam kalangan wanita juga merupakan pejuang di samping Rasulullah ketika perang. Mereka juga mengangkat pedang, menunggang kuda dan terluka berlumuran darah mempertahankan Rasulullah dan suami mereka.

Nusaibah binti Kaab contohnya, ketika perang Uhud, dengan serta-merta meninggalkan posisi asalnya dan bergegas melindungi Muhammad tatkala melihat tentera Islam dalam keadaan kucar-kacir dan baginda bersendirian tanpa perisai. Nusaibah mempertahankan Rasulullah dengan panahnya dan dia turut sama terluka dalam usahanya itu.

Tidak cukup dengan itu, Nailah binti al-Farafishah, isteri khalifah Usman al-Affan juga terkenal sebagai seorang wanita yang berani lagi bijak pandai. Keberaniannya terbukti apabila dia cuba menangkap pedang yang dihunus menuju Usman. Namun apabila pedang itu ditarik semula, maka putuslah jari-jari Nailah di samping suaminya yang terkorban. Meskipun dia tahu risiko yang dihadapi, dia tidak berganjak dan melihat sahaja.

Semasa hidupnya, Usman suaminya sendiri yang merupakan seorang lelaki yang amat dihormati ketika itu mengakui kebijaksanaan isterinya. Beliau pernah berkata: “Saya tidak menemui seorang wanita yang lebih sempurna akalnya dari dirinya. Saya tidak segan apabila ia mengalahkan akalku”

Sumbangan wanita

Maka di sini, apa lagi alasan kita untuk meletakkan wanita mengikut kefahaman kita semata-mata? Jika seorang wanita itu – tidak kiralah seorang doktor, peguam, akauntan, pakar ekonomi, pakar aktuari, saintis, ahli politik, pakar undang-undang, jurujual, guru, doktor gigi dan berbagai-bagai lagi kerjaya – berpotensi menyelamatkan negara, umat dan masyarakat sedunia ini, bukankah kita telah menafikan dunia ini sendiri potensi untuk diselamatkan?

Jika Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, gabenor Bank Negara yang paling lama berkhidmat menjadi suri rumah sepenuh masa dan tidak menjalankan tugasnya, apakah agaknya nasib polisi kewangan dan ekonomi Malaysia hari ini?

Atau lebih mudah, penuntut perubatan wanita di Malaysia ini yang hakikatnya melebihi jumlah penuntut lelaki sedia ada semua membuat keputusan untuk menjadi suri rumah “demi menjaga keluarga”, mana nanti tinggal doktor perempuan yang boleh dimohon untuk merawat pesakit wanita? Lazimnya yang menggunakan hujah agama inilah yang mendesak doktor wanita merawat pesakit wanita.

Jika kita bermatlamat memastikan keutuhan institusi keluarga, kita tidak boleh semata-mata menyalahkan wanita atas sebab kerjaya mereka. Hakikatnya dalam alam perkahwinan, suami dan isteri itu merupakan satu pasukan. Mereka memerlukan satu sama lain. Apakah suami tidak bertanggungjawab terhadap anak langsung?

Jika kita menyalahkan isteri yang pulang lewat bekerja sebagai punca keretakan rumah tangga tanpa membincangkan kemungkinan suami melakukan hal yang sama, ini tidak lain tidak bukan hanyalah satu hujah misoginistik dan murahan.

Maka sebelum kita meletakkan satu-satu label peranan gender, apa kata kita cuba duduk sebentar dan mula mengambil kira gender berlawanan sebagai manusia seperti kita? – Roketkini.com

*Penulis ialah ahli Sekretariat Masyarakat Madani IKRAM Siswa Nasional