Rencana

Siapa sebenarnya musuh orang kampung di Sarawak?

logopojok_manangatan_sKempen calon-calon pilihanraya Sarawak semakin hangat. Janji-janji manis BN terus ditabur. Sepuluh tahun punya janji pun dikitar semula. Begitulah yang berlaku saat ini. Sudah tentulah BN rasa tergugat, jika tak tergugat, mengapa mereka tidak malu kitar semula janj-janji pembangunan? Bukan sahaja janji, mereka juga tuduh DAP musuh orang kampung.

“DAP musuh rakyat luar bandar…” kata pemangku Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu. Ini tuduhan terdesak dan jahat. Jika dulu mereka tidak hairan kerana DAP dianggap parti orang bandar, tapi sekarang terpaksa pula mereka menabur benci konon DAP musuh orang kampung.

Manang nak tanya, siapa sebenarnya memusuhi orang kampung? DAP atau BN? Siapa yang berjanji nak buat sekolah di Tasik Biru tapi terbengkalai? Siapa yang berjanji nak bina hospital di Sri Aman tapi tak buat? Siapa yang berjanji nak bina jalanraya di kampung tapi tak buat? Dan orang kampung sendiri tahu siapa yang berjanji nak sediakan kemudahan elektrik dan air tapi tidak juga siap?

Menuduh DAP musuh orang kampung adalah tuduhan tak masuk akal. Siapa yang rampas tanah NCR selama ini? Siapa yang ceroboh wilayah adat Orang Asal? Siapa yang runtuh rumah-rumah orang asal? Siapa yang beri kuasa kepada syarikat untuk membalak? DAP tiada kuasa untuk berikan semua itu. Sudah tentulah kerajaan BN yang ada kuasa!

Kalaulah DAP musuh kepada rakyat di pedalaman, tak perlulah DAP bersusah payah mengutip derma untuk projek-projek Impian Sarawak untuk projek paip air graviti, pemasangan sistem solar, kem-kem kesihatan dan pendidikan serta banyak lagi.

Tan Sri Alfred Jabu sepatutnya tepuk dada dan bertanya sendiri, sejak berpuluh tahun Sarawak membentuk Malaysia, mengapa hingga sekarang masih ramai rakyat di pedalaman yang miskin, beliau perlu tanya kenapa sampai sekarang masih banyak rumah panjang tidak ada kemudahan air terawat dan elektrik yang sempurna.

Penduduk di pedalaman sudah serik dengan janji-janji pembangunan BN. Sebab itu jugalah DAP semakin diterima orang kampung. Sekali lagi Manang bertanya, siapa sebenarnya musuh orang kampung? – Roketkini.com