Berita

DAP gesa Najib bentang kertas putih 1MDB di parlimen

KUALA LUMPUR, 12 MEI: DAP menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membentangkan kertas putih mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam sesi parlimen minggu depan bagi menyatakan pendirian kerajaan berhubung skandal syarikat itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata pembentangan itu perlu mengambil kira laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dikeluarkan bulan lalu serta memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga hari untuk sesi perbahasan di Parlimen.

Katanya, ia penting bagi mengetahui sebab sebenar mengapa 1MDB menjadi skandal kewangan global pertama negara.

“Adakah ia disebabkan kegagalan 1MDB menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) selepas ‘diserang’ seperti dakwaan Perdana Menteri?

“Atau adakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, lebih tepat apabila mengakui bulan lalu bahawa model 1MDB dengan modal rendah dan pinjaman besar tidak mapan dari awal lagi?”

“Apa sebenarnya dosa skandal kewangan global 1MDB – kegagalan IPO , model tidak mapan dengan modal rendah dan pinjaman besar atau sesuatu yang lebih asas, penipuan global sejak awal yang mencetuskan siasatan oleh beberapa negara terhadap penyelewengan antarabangsa dan pengubahan wang haram AS$11 bilion?” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib dalam rancangan temubual khas di TV1 RTM malam kelmarin bahawa faktor utama 1MDB menghadapi masalah adalah kerana gagal menerbitkan IPO akibat ‘diserang.’

Menurut Kit Siang, semasa Najib sedang sibuk berkempen pada pilihanraya Sarawak yang lalu, Malaysia diletakkan pada kedudukan kedua dalam indeks amalan kapitalisme kroni oleh The Economist selepas dipetik oleh laman web antarabangsa, foreignpolicy.com sebagai ‘negara dunia ketiga paling teruk dengan skandal rasuah tahun 2015’ dan contoh rasuah global kedua paling teruk pada bulan Mac oleh Majalah Time.

“Adakah skandal RM50 bilion 1MDB bakal menjadi agenda utama Parlimen apabila ia bersidang semula pada 16 Mei bersamaan Isnin ini?

“Atau adakah Parlimen akan berpura-pura seolah-olah skandal global pertama Malaysia itu tidak wujud dan menganggap seluruh dunia sedang berkhayal tentang isu 1MDB?” soalnya. – Roketkini.com