Berita

DAP pecat ADUN Teluk Datuk, dituduh salahguna peruntukan kerajaan negeri Selangor

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Jawatankuasa Disiplin DAP Kebangsaan  hari ini memecat keahlian parti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Datuk, Loh Chee Heng, atas dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan negeri bagi kawasan diwakilinya di Selangor.

Keputusan ini dibuat jawatankuasa tersebut selepas sesi pendengaran hari ini setelah menerima aduan bertulis pada Mac lalu berhubung dakwaan salah guna  peruntukan dari kerajaan negeri bagi kawasan itu.

Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan,  Tan Kok Wai, berkata DAP adalah parti yang mendokong ketelusan, akauntabiliti dan urus tadbir yang baik serta mahu semua wakil rakyat yang dipilih supaya menepati piawai maksima tahap integriti terhadap amanah rakyat yang diberikan.

Menurutnya, DAP sentiasa konsisten dengan prinsip integriti yang dijunjung parti dan tidak boleh berkompromi menggadaikan prinsip itu dengan membiarkan wakil rakyatnya berbuat sesuka hati terhadap peruntukan yang diamanahkan.

“Jawatankuasa disiplin parti menzahirkan rasa kecewa atas tindakan Loh yang telah memburukkan parti berikutan tindakannya menyalahguna peruntukan yang diberikan kerajaan negeri,” kata beliau.

“Kita mahu ia menjadi iktibar terhadap semua wakil rakyat kita yang lain bahawa mereka tidak boleh mengkhianati amanah yang telah diberikan tetapi perlu menunjukkan tahap integriti yang tinggi dalam segala urusan mereka terutama dalam menguruskan peruntukan kerajaan,” tegas Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras.

Pada 15 Mac 2016, Jawatankuasa Disiplin DAP Kebangsaan telah meminta Jawatankuasa Disiplin DAP Selangor untuk menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri tersebut.

“Berdasarkan sesi pendengaran hari ini di mana Loh diberikan peluang untuk menjelaskan dakwaan terhadap dirinya, jawatankuasa disiplin mendapati dan menyimpulkan terdapat bukti serius salah laku oleh Loh dan sebulat suara membuat keputusan untuk menamatkan keahlian beliau serta merta,” jelasnya. – Roketkini.com