Berita

DAP sudah lapor kepada SPRM salahguna peruntukan DUN Teluk Datuk

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat DAP Selangor di Shah Alam pada 11 Mei 2016 lalu susulan dakwaan salah guna peruntukan kawasan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Datuk Loh Chee Heng.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua Kiam Wee, berkata DAP Selangor sebelum itu juga telah menjalankan siasatan selama lapan minggu terhadap Loh setelah menerima aduan daripada ahli-ahli parti kawasan itu.

“DAP Selangor ingin menegaskan komitmen parti terhadap urus tadbir yang baik, ketelusan dan integriti.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan mana-mana pemimpin kita yang mengkhianati kepercayaan dan amanah rakyat dan memusnahkan kredibiliti parti,” tegas beliau.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga mengesahkan bahawa Jawatankuasa Disiplin DAP Kebangsaan telahpun memaklumkan kepada DAP Selangor bahawa ADUN Teluk Datuk itu telah pun dipecat daripada parti serta merta. – Roketkini.com