Berita

Kerajaan Pulau Pinang siapkan pasar awam yang terbengkalai 30 tahun, tambah bina rumah mampu milik

GEORGE TOWN, 15 MEI: Selepas terbengkalai selama 30 tahun, kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang mengambil inisiatif memulihkan semula projek Pasar Awam Paya Terubong dengan kos RM7 juta bersama cadangan pembangunan baru, iaitu perumahan mampu milik.

Pasar awam itu merupakan salah satu komponen pembangunan utama yang akan disiapkan terlebih dahulu selewat-lewatnya hujung tahun depan.

Berucap dalam majlis pecah tanah projek terbengkalai Pasar Awam Paya Terubong dekat sini semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata kerajaan negeri berharap dapat memenuhi permintaan tinggi bagi perumahan di Daerah Timur Laut serta menyediakan kompleks penjaja dan pasar awam yang lebih tersusun dan selesa, selain penyediaan kemudahan awam seperti pusat komuniti.

paya terubong02Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, selain pasar awam yang bakal siap akhir tahun depan, keseluruhan komponen pembangunan untuk projek itu dijangka siap sepenuhnya pada hujung 2019.

 “Pada ketika ini projek pasar awam akan dimulakan memandangkan kelulusan Commencement of Work daripada MBPP telah pun diperolehi pada 12 April 2016.

“Manakala, bagi pelaksanaan projek perumahan mampu milik dan unit komersil, ianya masih di peringkat kelulusan Pelan Merancang MBPP,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga telah meringankan beban pemaju dengan mengurangkan bayaran caruman serta premium yang harus dibayar kepada kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Bagi tujuan itu, satu perjanjian usahasama antara Kerajaan Negeri dengan Patsifit Construction Sdn. Bhd. telah ditandatangani pada 7 September 2015 supaya pembangunan dapat dimulakan pertengahan tahun ini.

Pembangunan semula projek terbengkalai Paya Terubong ini bakal melibatkan pembinaan 60 unit meliputi dua blok kedai pejabat dua tingkat di atas Lot 8824 dan 8825; satu blok empat tingkat pasar, kompleks penjaja dan pusat komuniti di atas Lot 8826, satu blok bangunan 205 unit rumah mampu milik di atas Lot 11511.

Cadangan pembangunan berkeluasan 41.1 ekar di Paya Terubong ini telah dimulakan pada tahun 1987 oleh Syarikat Bina Nusa Sdn. Bhd., tetapi sebahagian projek terpaksa dihentikan apabila syarikat itu muflis.

“Sekali lagi kerajaan negeri berjaya memenuhi aspirasi rakyat, iaitu menyelesaikan masalah 30 tahun demi manfaat rakyat Pulau Pinang.

“Dengan terbinanya pasar awam ini, diharapkan satu lagi kemudahan rakyat dapat disediakan dan akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Pulau Pinang amnya dan penduduk di sekitar Paya Terubong khususnya,” kata Guan Eng. – Roketkini.com