Berita

Kit Siang minta maaf kepada pengundi Gelang Patah kerana digantung Parlimen, akan terus bangkit skandal 1MDB

JOHOR BAHRU, 16 MEI: Lim Kit Siang ‘memohon maaf’ kepada pengundi di Gelang Patah di sini semalam berikutan penggantungan Parlimen selama enam bulan yang dikenakan terhadapnya berikutan kritikan lantangnya berkaitan skandal 1MDB akhir tahun lalu.

Beliau yang juga Ketua Parlimen DAP kembali menyambung tugasnya di Parlimen hari ini setelah tamat tempoh penggantungan tersebut.

“(Saya digantung) bukan kerana saya mencuri, merompak, membunuh, atau melakukan rasuah, tetapi hanya kerana saya mahu Perdana Menteri untuk menjawab dua soalan mudah,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Dua soalan yang ingin diketahui beliau bersama jutaan rakyat Malaysia adalah dari mana datangnya wang 1MDB, dan ke mana ia telah dibelanjakan, dan kedua-dua persoalan itu masih belum dijawab dengan fakta dan bukti oleh pihak kerajaan Barisan Nasional.

Gelang Patah merupakan destinasi terakhir jelajah ceramah ‘Pantang Undur’ yang dijayakan oleh Kit Siang sejak enam bulan lalu di mana beliau telah melawat 130 kawasan Parlimen di negara ini.

Tujuan jelajah ceramah itu adalah untuk memperjelaskan kepada rakyat mengenai isu skandal yang melibatkan 1MDB dan skandal ‘derma” Najib Razak, serta kesannya kepada masyarakat dan generasi akan datang.

Beliau yang merujuk siasatan berkaitan ‘derma’ RM4.2 billion yang melibatkan Perdana Menteri dan skandal kewangan RM55 bilion syarikat sarat hutang 1MDB yang diasaskan Najib itu, mencadangkan supaya Parlimen melakukan empat perkara penting bermula hari ini, iaitu:

  1. Membentangkan Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB (kedua-dua laporan termasuk laporan interim dan laporan akhir) ke Parlimen pada hari pertama sidang (hari ini).
  2. Pembentangan Kertas Putih oleh Najib dengan memberikan alasan yang komprehensif berkaitan skandal 1MDB yang terbaru.
  3. Tiga hari diperuntukkan untuk perbahasan yang meluas berkaitan 1MDB di Parlimen; dan
  4. Arahan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk membuka semula siasatan berkaitan skandal 1MDB.

Namun, menurut Kit Siang, Najib yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan memilih untuk ‘lari’ ke United Kingdom bagi lawatan kerja sedangkan persoalan mudah yang diajukannya sejak enam bulan lalu belum dijawab. – Roketkini.com