Berita

Kalau ikut logik, Najib pun harus dilarang ke luar negara, kata Kit Siang

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Menyifatkan satu penghinaan terhadap hak asasi manusia dan demokrasi Malaysia, Lim Kit Siang mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memohon maaf kepada Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee, kerana menyekat mereka ke luar negara.

Ketua Parlimen DAP itu menambah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad, pula telah menyatakan kerajaan tidak perlu memberi sebab sebab terhadap keputusan melarang Maria Chin dan Tony Pua meninggalkan negara.

“Ini satu langkah ke belakang yang belum pernah dibuat oleh mana-mana Perdana Menteri Malaysia sebelum ini sama ada Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir atau Tun Abdullah Badawi,” ujar beliau.

Selain memohon maaf, katanya, Zahid juga perlu menarik semula larangan perjalanan tersebut dan mengembalikan hak demokratik kepada mereka untuk bebas ke mana-mana negara.

“Larangan Maria Chin ke luar negara adalah salah kerana ia jelas tidak demokratik, yang menimbulkan persoalan adakah kerajaan Najib komited terhadap prinsip-prinsip demokrasi.

“Beliau sepatutnya ke Korea Selatan untuk menerima Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju. Kenapa perlu adanya SUHAKAM jika kerajaan sesuka hati menyalahguna kuasanya?” soal Kit Siang.

Menurutnya, jika mengikut logik kerajaan yang dikenakan ke atas Tony Pua pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga perlu dihalang dari meninggalkan negara kerana terlibat dalam dakwaan skandal mega 1MDB RM50 bilion dan skandal ‘derma’ RM4.2 bilion.

Najib sedang disiasat di sekurang-kurangnya lapan buah negara termasuk siasatan dari Federal Bureau of Investigations (FBI) Amerika Syarikat, dan beliau juga sepatutnya tidak dibenarkan keluar dari Malaysia, tambah beliau. – Roketkini.com