Berita

DAP Sabah usul pinda Perlembagaan kembalikan status Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakan kongsi setara, bukan lagi sebagai negeri

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Satu usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai tiga negara berdaulat dan rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 telah dikemukakan kepada Parlimen.

Usul oleh Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt, bertujuan membetulkan beberapa perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang gagal diteliti dan menyebabkan Sabah dan Sarawak diturun taraf menjadi satu daripada 13 buah negeri dalam Malaysia, dan bukan sebagai negara berdaulat.

“Kegagalan untuk meminda perkara ini adalah tidak mematuhi dan tidak menghormati apa yang telah disetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 semasa pembentukan Malaysia, dan dilihat seolah-olah melanggar semangat prinsip Persekutuan Malaysia,” jelasnya kepada Roketkini.

stephen wong2Antara cadangan lain yang diutarakannya adalah dengan memasukkan definisi Hari Malaysia, pemaknaan baharu bagi perkataan “Persekutuan” dan pindaan definisi “undang-undang bertulis” (written law).

Beliau merayu supaya usul itu dapat dibahaskan kerana mahu kedudukan Sabah dan Sarawak dihormati sebagai negara-negara berdaulat dan rakan kongsi yang sama taraf dalam Persekutuan Malaysia.

Menurut Stephen yang juga Pengerusi DAP Sabah, kedudukan Sabah yang dianggap sebagai salah sebuah ‘negeri’ telah menjadikannya seolah-olah terabai dan terkebelakang dalam arus pembangunan negara.

“Walaupun kita merupakan salah satu punca pendapatan Persekutuan dengan hasil bumi seperti minyak dan sebagainya, pembangunan di sini amat perlahan berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

“Persoalannya, adakah dengan keadaan begitu kita boleh katakan bahawa Sabah dihormati? Saya nak tegaskan bahawa pindaan ini bukan sekadar kita mahu dihormati sahaja tetapi supaya Sabah dapat menikmati kemakmuran dan pembahagian ekonomi yang lebih adil,” kata beliau.

Jelasnya, jika pindaan Perlembagaan Persekutuan itu berjaya dibuat, ia akan memberikan lebih banyak keistimewaan kepada Sabah dan juga rakyatnya dalam membangunkan sumber ekonomi, pendidikan sekaligus membangunkan sumber modal insan yang lebih berkualiti dan maju.  – Roketkini.com