Berita

PRK Sungai Besar: DAP sokong penuh calon Pakatan Harapan

PETALING JAYA, 24 MEI: DAP Selangor akan memberi sokongan penuh kepada calon Pakatan Harapan dalam pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun depan walaupun terpaksa bertembung dengan PAS dalam pertandingan tiga penjuru.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, berkata beliau percaya bahawa pengundi akan memilih calon Pakatan Harapan yang diwakili oleh Parti Amanah Negara memandangkan Pakatan Harapan merupakan satu-satunya gabungan politik yang berpeluang untuk menewaskan BN dalam pilihanraya.

“Walaupun ada pihak yang bimbang pertembungan tiga penjuru mungkin melemahkan undi pembangkang, saya percaya pengundi-pengundi pintar akan memilih calon Pakatan Harapan.

“Lebih-lebih lagi, negara kita sedang dilanda satu krisis gergasi yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Skandal RM55 bilion 1MDB dan derma RM4.2 juta Perdana Menteri benar-benar menjadikan Malaysia bahan jenaka yang memalukan di seluruh dunia.

“Oleh sebab itu, adalah amat penting untuk Pakatan Harapan menjadi wakil dalam pilihanraya kecil ini agar rakyat yang sudah muak dengan skandal-skandal tersebut dapat memilih wakil yang tidak gentar menentang UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, lawatan dan sesi dialog beliau dengan akar umbi cawangan-cawangan DAP di Sungai Besar sebelum ini mencerminkan kecenderungan pengundi untuk memilih calon Pakatan Harapan.

“Mereka enggan menyokong PAS sebagai wakil untuk melawan BN. Ramai menganggap PAS telah mengkhianati undi mereka pada pilihanraya lalu kerana menyebabkan Pakatan Rakyat terkubur.

“Ada juga yang menyatakan jika mereka terpaksa undi antara BN dan PAS, mereka akan undi BN kerana kekecewaan mereka terhadap PAS.

“Malah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak berniat menumbangkan Najib, tetapi mahu Najib terus diberi peluang untuk memimpin negara. Mungkin PAS hanya ingin menjadi penasihat kepada UMNO-BN,” tambahnya.

Sehubungan itu, Tony menyeru agar semua pihak dalam Pakatan Harapan bersama-sama berganding bahu dan berusaha keras agar peluang untuk menang di pilihanraya kecil Sungai Besar semakin cerah.

“Melalui satu kempen yang berfokus dan cergas, saya percaya Pakatan Harapan mampu memikat hati pengundi dan mencapai satu kemenangan pilihanraya kecil bersejarah yang akan menggemparkan arena politik Malaysia,” katanya.

Kerusi parlimen Sungai Besar kosong setelah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon, meninggal dunia dalam tragedi malang nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu yang turut melibatkan lima lagi individu, termasuk Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad.

Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar di Perak juga akan diadakan pada tarikh yang sama. – Roketkini.com