Rencana

Sarawak: Merapatkan Renggang

PRN Sarawak telah melabuhkan tirai. Tiga minggu bermukim di kawasan pedalaman telah membuka pandangan saya seluas mungkin. Hakikatnya, tidak pernah saya rasa begini tercabar dan terkesan kerana mengharungi kempen ini; dan masih rasa mahu untuk setidak-tidaknya mencetus sedikit perubahan. Sebaliknya, kini saya lebih memahami sejauh mana penyakit yang telah melumpuhkan masyarakat; yang mesti kita ubati. Namun, saya tidak pernah merasa begini lemah untuk mencari penyelesaian terhadap masalah sosial, politik, dan negara yang perlahan-lahan mencengkam bangsa kita.

Apa yang kita perlukan sekarang bukan sekadar apa yg telah biasa kita lakukan, bahkan taktik dan strategi lain yang belum pernah kita cuba mahupun fikirkan. Dan jujur saya katakan bahawa sewajarnya kita kembali merancang dari awal.

Pilihanraya pada kali ini benar-benar menguji – malah sebenarnya lebih membadai dan menggoyah – prinsip pegangan saya, komitmen saya kepada demokrasi, kepercayaan saya bahawa seluruh bangsa manusia ialah baik, dan paling teruk sekali, pandangan saya tentang bangsa dan kemanusiaan.

Politik wang: suatu norma budaya?

Howard LeeDAP sehingga kini sentiasa berdiri teguh memerangi politik wang, beli undi, dan pertukaran sokongan politik melalui naungan kewangan. Mendapatkan sokongan melalui tekanan ketakutan, ataupun ‘tebusan’ adalah sesuatu yang sangat asing bagi kami. Semua ini adalah taktik yang sangat sinonim dengan kempen Barisan Nasional di pedalaman Sarawak, namun, untuk sebab yang tidak pasti, ia telah dipakukan ke dalam mentaliti ‘orang luar’ sebagai norma budaya setempat.

Saya sentiasa diperingat dan dipertegas – oleh beberapa orang tempatan dari kalangan suku Dayak – betapa tidak sensitif dan tidak bergunanya prinsip yang saya junjung kepada budaya tempatan. “Di sini di kawasan pedalaman, sokongan politik akan diperoleh hanya melalui wang; yang lain hanyalah kata-kata semata.”

Saya juga diberitahu, “Pihak yang sepatutnya berasa malu bukanlah mereka yang meminta tetapi mereka yang gagal memberi apabila diminta.” Inilah yang dinasihatkan oleh orang Dayak.

Sungguh sukar untuk saya telan dan hadam bahawa momokan ini hakikatnya mewakili suara ramai. Sukar untuk saya terima bahawa rasuah dan politik wang ialah budaya Dayak.

Dalam keadaan yang nyata berbeza, saya dimaklumkan bahawa budaya Iban menyatakan – untuk seorang teruna menawan hati seorang dara, pertama sekali dia harus membawa pulang kepala lelaki lain untuk membuktikan dia berbaloi. Daripada sudut sejarah, suku Iban ditenun sebagai suku yang penuh kebanggaan dan bersungguh-sungguh ; dan tidak dinafikan ia adalah bertentangan dengan tanggapan politik wang sebagai budaya mereka.

Julang prinsip bermakna tempa kekalahan

Dalam beberapa keadaan, kumpulan kempen kami pernah berhadapan dengan pelbagai dilemma membuat keputusan. Berikut merupakan tiga contoh relevan:

Senario pertama, seorang Tuai Rumah telah mengunjungi pejabat kempen sambil membawa beberapa senarai pengundi di rumah panjang beliau; niatnya mahu menunjukkan sokongan kepada calon kami dengan menjanjikan undian, tetapi dengan harga.

Senario kedua, seorang lelaki tempatan telah menemui kami selepas penamaan calon (hari pertama), dan menuntut kami membayar semula tambang pengangkutan dan elaun atas dasar ‘sokongan’ (apa yang dia lakukan hanyalah menyarungkan baju kempen).

Senario ketiga, seorang warga tempatan yang jelas mabuk, yang juga ahli kumpulan kempen, secara agresif membentak memaksa saya memilih orang tempatan ataupun orang luar untuk menjadi jentera politik kempen. Dia kemudiannya bertindak mengugut ahli kumpulan lain dengan vandalisme di pejabat kempen jika tuntutannya tidak dipenuhi.

Persoalannya, apakah perkara yang wajar dilakukan dalam senario-senario ini?

Pilihan-pilihannya adalah:

(a)    Menggantung seketika ‘prinsip-prinsip dan pandangan-pandangan Malaya’ dan secara total membenamkam diri ke dalam cara pedalaman Sarawak untuk memperoleh sokongan dan prestasi; atau

(b)    Berpegang teguh, pantang undur dan terus percaya kepada prinsip-prinsip dan segala risiko jika kita ditinggalkan, diketepikan ataupun diancam keselamatan.

Kumpulan yang saya pandu, mengambil jalan kedua (b). Saya berbangga, namun tidak pernah saya berasa gembira untuk pemilihan tersebut. Saya berbangga kerana kami mengaplikasikan segala yang kami julang, dan segala prinsip parti pula terus dipertahankan. Yang saya kecewa, adalah kerana kami ditinggalkan dan diperlekeh, dan ada antara kami pula terancam keselamatannya.

Akhirnya, kami telah disingkirkan dalam banyak cara, termasuklah kehilangan deposit pilihanraya.

Tiada cara lain yang lebih baik untuk menguji sesuatu teori berbanding mencerap keputusannya sama ada berpihak kepada kita ataupun tidak. Dan mendakap prinsip jelas telah gagal membuahkan hasil.

Juga tiada cari lain yang lebih baik untuk menguji prinsip dan integriti seseorang selain meletakkan diri sendiri sebagai subjek di dalam perhambaan politik wang. Kita gagal kerana kita tidak terlibat dalam politik kotor itu.

Kejahilan vs Praktikaliti
Ada yang menyatakan bahawa warga pedalaman tidak disediakan dengan fahaman asas tentang demokrasi dan penglibatan mereka dalam pemilihan sesebuah kerajaan. Sesetengah malah turut menegaskan bahawa tahap intelek golongan tersebut adalah sangat lemah untuk memahami ragam politik Sarawak yang rumit.

Slide1Saya berkesempatan untuk berborak berjam-jam lamanya dengan penduduk tempatan di rumah-rumah panjang dan di pekan terpencil bernama Pakan, dengan kapasiti sebagai ahli politik dan juga orang luar. Boleh saya katakan dan harus saya akui bahawa bukan sahaja ramai mempunyai maklumat yang cukup luas, malah ramai yang sangat maju dalam pemahaman dan analisis politik mereka, terutamanya mengenai politik tempatan.

Ada yang bertanya, jika itu keadaannya, mengapa masih ramai orang tempatan memberikan sokongan kepada BN dan politik wang jika mereka sebenarnya maju dalam berpandangan. Saya fikir, ia mempunyai banyak sangkut paut dengan hubungan dan penerimaan oleh pengundi kepada perjuangan yang dijuarai calon-calon.

Menjadi satu tanggungjawab parti dan calon untuk memperkukuh agenda dalam satu cara yang seirama dengan pemikiran dan sentimen pengundi. Isu-isu yang dibawa boleh jadi 100% benar dan berfungsi, tetapi jika ia tidak ditanggapi pengundi, ia mungkin langsung tidak berguna.

Melonjakkan isu-isu yang relevan kepada pengundi adalah satu-satunya cara untuk membentuk hubungan kerana hanya dengan adanya hubungan, kepercayaan akan seiring terhasil. Apabila hubungan dan kepercayaan saling diperkukuh, barulah pengundi akan mempunyai rasa keberpunyaan kepada parti atau calon.

Ada satu analogi ringkas untuk hal ini. Apabila anda sedang menderita sakit gigi, dan pada saat itu pula muncul seorang profesor bidang pembedahan pergigian terbaik di dunia yang berbahasa asing dan seorang jururawat pergigian tempatan, yang mana satu anda pilih?

Kesimpulannya, berdiri teguh dengan prinsip dan integriti tidak lagi cukup untuk menentang korupsi BN. Kita sepatutnya bukan sahaja melaungkan apa yang benar, tetapi juga harus meyakinkan orang tempatan bahawa setiap kebenaran itu adalah matlamat bersama sebagai rakyat dan bangsa Malaysia.

Penemuan asas

Kini bukanlah di satu era di mana agenda bandar boleh digunapakai dalam masyarakat luar bandar, atau sebaliknya. Ia haruslah merupakan satu agenda rakyat Malaysia yang boleh diterima oleh semua, dengan harapan untuk merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, Semenanjung dan Borneo, sekaligus melenyapkan sebarang bentuk pengkelasan ‘kami’ dan ‘mereka’. Kegagalan kita telah menonjolkan bahawa kita tidak memberi keutamaan kepada ‘tuntutan semasa’. Kita mampu untuk menawarkan satu visi, idea malah bayang-bayang penyelesaiannya, tetapi jelas bahawa ia tidak mencukupi.

Saya mengakui bahawa kami tidak mempunyai sebarang sumber untuk mengajukannya, tetapi itulah realiti yang kita tidak boleh elak. Salah menyalahi bukan lagi satu jalan. Kita gagal, dan tiada justifikasi boleh memutarkan kembali waktu.

Kata-kata inspirasi boleh membawa euforia kepada pendengar, dan janji-janji sesebuah negara dengan urustadbir yang bagus dan sempurna juga boleh memukau orang ke tahap kemabukan; tetapi jelas dalam kes ini, ia tidak cukup memabukkan berbanding dengan arak ‘Cap Ah Pek Tiga Sekawan’, yang begitu hebat digunakan oleh pihak lawan untuk meraih undi. -Roketkini.com

Howard Lee Chuan How ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji, Perak merangkap Setiausaha Biro Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan. Beliau juga merupakan Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa (IUSY), sebuah organisasi politik anak muda terbesar di dunia.