Berita

Rang undang-undang persendirian PAS bertentangan dengan Perlembagaan, helah pecah undi pilihanraya kecil

KUALA LUMPUR, 26 MEI: DAP tidak akan bersetuju dengan apa juga pindaan yang menjejaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial, termasuk usul PAS yang melibatkan rang undang-undang (RUU) persendirian berkaitan Mahkamah Syariah.

Menegaskan pendirian parti, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata keputusan itu diambil bukan kerana sentimen agama tetapi demi menjaga hak setiap rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tegaskan ini bukan suatu tentangan terhadap agama Islam atau Mahkamah Syariah tetapi untuk menegakkan kedudukan Perlembagaan sebagai perundangan tertinggi negara.

“DAP tidak akan bersetuju dengan rang undang-undang persendirian ini kerana jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, jika Perlembagaan Persekutuan tidak dipelihara, ia dibimbangi akan menjejaskan masa depan negara.

“Jika ia bermula, ia akan diluaskan. Kita tidak boleh ada dua sistem (yang bertentangan). Perlembagaan akan terus terjejas. Itu yang amat dibimbangkan,” ujar beliau.

Dalam perkara berkaitan, Guan Eng turut mempersoalkan pendirian parti-parti komponen BN yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan, parti-parti tempatan di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini begitu lantang mengkritik dan menentang usul PAS tersebut.

“Sebelum ini, ada komponen BN yang ugut akan keluar BN jika ia dibenarkan, tapi sekarang apa sudah jadi. Mereka senyap.

“Kenapa mereka bersetuju sekarang (dengan cadangan PAS), adakah mereka akan tunaikan apa yang dijanji sebelum ini iaitu keluar BN?” katanya.

Ditanya sama ada usul ini mempunyai muslihat politik, Guan Eng berkata, apa yang berlaku adalah untuk memecahkan undi pembangkang  dalam pilihanraya kecil akan datang.

“Ini adalah taktik untuk pecahkan undi pembangkang kerana usul pindaan RUU tersebut tidak ada dalam Aturan Mesyuarat sebaliknya muncul dengan tiba-tiba hari ini.

“Sungguhpun DAP tidak bertanding, ini adalah untuk tujuan politik dan itu bukan sesuatu yang sihat,” ujar beliau.

RUU persendirian untuk meminda  Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 merupakan RUU persendirian pertama yang dibacakan di Parlimen, walaupun ia bukan yang pertama dalam susunan asal.

Ia merujuk kepada usaha PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di seluruh negara. – Roketkini.com