Rencana

Aneh, sangat aneh usul “hudud” di Parlimen

Hudud datang lagi, kali ini dalam acara serang hendap selepas Zohor di Dewan Rakyat, tanpa sebarang petanda dan isyarat. Aturan mesyuarat Dewan Rakyat diubah, dan usul persendirian Ahli Parlimen Marang diberikan keutamaan.

Setelah tiga kali cuba dibentangkan di Parlimen, Presiden PAS Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang akhirnya diberi peluang dan sokongan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Umno untuk melunaskan hajatnya sejak sekian lama. Akhirnya usul persendirian tersebut berjaya dibentangkan di Parlimen.

Pun begitu ada beberapa hal aneh yang berlaku sewaktu pembentangan tersebut yang barangkali telah terlepas daripada pandangan ramai pihak, akibat masih terkejut dengan kejadian yang berlaku semalam.

Antara yang paling menghairankan ialah perbualan ringkas antara Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan Ahli Parlimen Marang setelah usul selesai dibaca.

Kita menyaksikan Pandikar Amin bertanya kepada Hadi Awang, sama ada usul tersebut akan dihuraikan hari ini (semalam) atau akan dihuraikan pada sidang yang akan datang, pada bulan Oktober nanti.

Abdul Hadi Awang kemudiannya mengambil masa lebih lima saat sebelum membaca skrip yang dipegang, dan memohon supaya usul ditangguhkan ke sidang mesyuarat akan datang, sekitar empat bulan lagi.

Eh, nak minta tangguh usul pun perlu baca dari skrip? Ini aneh sekali.

Dan ini pula menjawab pertanyaan Speaker, yang memberi pilihan kepada Hadi Awang untuk hurai atau tidak hurai. Kenapa tak disuruh hurai sahaja semalam? Sudah tiga kali cuba dibawa ke Parlimen, namun apabila mendapat peluang untuk hurai, tidak pula mahu hurai panjang lebar. Dulu bunyi macam dah tak sabar betul mahukan hudud. Aneh, sangat aneh.

Apa-apa pun, kita harus ingat bahawa usul persendirian Hadi Awang bukanlah usul untuk ‘melaksanakan hukum hudud’. Ia sekadar usul meminda bidang kuasa mahkamah syariah dalam hal had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah, yang tidak pun melibatkan hukum-hukum hudud seperti potong tangan dan hukuman pancung kepala.

Maka polemik ‘hudud’ yang tiba-tiba menjengah ini, ternyata sekadar wayang kulit dari Rusila, yang digunakan sebagai senjata bagi mengacah pengundi-pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Barangkali Oktober nanti, Hadi Awang hanya akan diberi peluang untuk berceramah sahaja di dalam Dewan Rakyat, dan kemudiannya Ahli-ahli Parlimen UMNO tidak akan menyokong pun usulnya itu.

Kemudian baru nanti kita tahu, siapa sebenarnya tok dalang dalam wayang kulit Ahli Parlimen Marang ini. Boleh lah kita beryoya-yoya dan bertepuk tangan, melihat gembala lembu hilang kendali, lalu ditanduk lembu sendiri. – Roketkini.com