Rencana

Apakah ada jalan selamat untuk UMNO Johor?

Hingga kini, banyak persoalan timbul dan masih tidak terjawab oleh UMNO negeri Johor berhubung beberapa perkara yang sangat kritikal berkaitan masa depan rakyat negeri Johor dan Malaysia umumnya.

Hingga kini rakyat Johor tidak mengetahui dengan jelas apakah pendirian kerajaan UMNO-BN di Johor berkaitan skandal terbesar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. UMNO Johor seakan terus bermain teka-teki dan bermain dengan kata-kata puitis bak sang nasionalis tetapi hipokrit. Tidak ada keberanian menyatakan pendirian oleh mereka yang mengaku pejuang tulen Bangsa Johor.

Untuk mengelak, pastinya UMNO Johor dengan mudah memberi hujah bahawa skandal 1MDB ini tiada kaitan dengan UMNO mahupun rakyat negeri Johor. Jawapan ini mudah diduga kerana kelihatan sekali bahawa UMNO Johor mahu mengambil jalan selamat dan cuba menjarakkan diri dengan skandal Presiden yang mereka kasihi.

Tetapi benarkah ini satu-satunya jalan politik yang paling selamat buat Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga Menteri Besar Johor, serta UMNO Johor?

Jika itulah yang difikirkan jalan paling selamat, pastinya pemecatan anak Bangsa Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap masa depan dan sokongan UMNO di Johor. Maka, tidak perlulah mereka risau tentang perpecahan ahli UMNO Johor di peringkat akar umbi.

Bermakna juga, lawatan saya yang menemui beberapa ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi yang menyatakan kekesalan dan kehilangan kepercayaan kepada UMNO itu, adalah halusinasi belaka.

Jika inilah jalan selamat yang difikirkan ‘selamat’ oleh Khaled Nordin dan UMNO Johor, maka tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan lagi oleh UMNO Johor. Malah, rungutan dan kebencian ahli UMNO akar umbi terhadap Presiden parti mereka itu diharap akan hilang menjelang PRU14.

Dalam perjalanan menempuh PRU14 kelak, sudah menjadi rahsia umum bahawa Presiden UMNO tidak akan berdiam diri, malah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pengaruh dan kuasa beliau berkekalan. Hakikatnya, Johorlah yang menjadi alat penyelamat Najib ketika PRU13 yang lalu di mana Johorlah antara penyumbang terbanyak kerusi Parlimen antara negeri-negeri di Semenanjung, dan ini akan dipastikan lagi untuk PRU14 akan datang.

Ini termasuk orang-orang Presiden UMNO di negeri Johor yang akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperkukuhkan pengaruh Presiden UMNO di Johor. Maka Johor harus jadi ‘perkakas’ untuk memperkukuh kedudukan Presiden yang terpalit dengan skandal ‘saga 1MDB ini.

Dalam pergelutan ini, pastilah ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi akan ditabur dengan dedak oleh orang-orang Presiden UMNO. Suka atau tidak, UMNO Johor akan mengikut rentak yang dimainkan oleh Presiden UMNO ini untuk memastikan mereka kekal berkuasa.

Selain daripada itu, analisis Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, berkaitan peralihan undi yang boleh berlaku di Johor, sememangnya berasas. Ini berdasarkan beberapa senario penting antaranya kesan daripada persepsi rakyat terhadap skandal Presiden UMNO dengan 1MDB, kesan kos sara hidup dari cukai GST termasuk kesan-kesan dari kelemahan-kelemahan polisi ekonomi oleh pentadbiran Najib.

Senario peralihan undi itu pastinya akan berlaku, cuma nisbah peralihan itu yang belum dapat dipastikan jumlahnya. Hanya menunggu masanya.

Ini ditambah pula faktor calon-calon arus perdana UMNO Johor yang telah hilang seperti Muhyiddin dan Tan Sri Shahrir Samad. Ini pastinya memberi impak dalaman yang cukup signifikan terhadap sokongan rakyat kepada UMNO di Johor.

Apatah lagi, kelemahan pimpinan UMNO negeri khususnya dalam isu ‘pemantauan’ telefon peribadi Tengku Mahkota Johor (TMJ) dan Sultan Johor oleh polis baru-baru ini. Selepas dua minggu dakwaan TMJ itu dibuat, tidak ada satu pun kenyataan prihatin oleh mana-mana wakil UMNO Johor hatta Menteri Besar sendiri pun. Akar umbi di Johor sudah berbunyi, cuma suaranya belum kuat, mungkin menunggu masa untuk meledak.

Jika ini jalan selamat yang difikirkan oleh UMNO Johor, kita yakin perubahan untuk Bangsa Johor itu kian hampir. – Roketkini.com

*Penulis adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor