Rencana

PAS bersekongkol dengan UMNO untuk menentang DAP?

DAP berasa amat kesal dan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan tindakan beberapa Ahli Parlimen DAP mempertikaikan usul Rang Undang-undang Persendirian yang dibawa oleh beliau di Dewan Rakyat Khamis lalu sebagai tindakan memusuhi Islam.

Tuduhan liar seperti ini sentiasa dilemparkan oleh UMNO selama ini untuk memburuk-burukkan imej DAP di kalangan masyarakat Islam dan nampaknya kini PAS bersekongkol dengan UMNO untuk menyambung tali hayat politik UMNO dan Barisan Nasional.

Apa yang dipertikaikan oleh Ahli-ahli Parlimen DAP pada Khamis lalu hanya berkenaan dengan prosedur Peraturan Mesyuarat dan tujuan pihak kerajaan membenarkan usul Rang Undang-undang Persendirian Hadi yang dilihat bermotifkan politik. Kami mempersoalkan mengapa tiba-tiba pihak kerajaan membenarkan usul tersebut dibentangkan tanpa sebarang notis dan seolah-olah untuk “memerangkap” Ahli-ahli Parlimen yang langsung tidak bersedia untuk membahaskan pindaan Rang Undang-undang tersebut.

Pendirian DAP terhadap isu berkenaan dengan pelaksanaan hukum Hudud adalah konsisten selama ini iaitu DAP tidak bersetuju di atas prinsip ia tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak pratikal dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Pendirian inilah yang kami pegang selama kami bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat dari tahun 2008 sehingga 2015.

Dalam hujah kami yang tidak bersetuju dengan PAS dalam isu Hudud selama ini, pemimpin-pemimpin DAP tidak pernah memperlekehkan undang-undang Syariah mahupun ingin memusuhi masyarakat Islam. DAP tidak pernah anti-Islam.

Saya nak mengingatkan Datuk Seri Hadi bahawa semasa era Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpin DAP banyak mempertahankan PAS di kalangan masyarakat bukan Islam daripada serangan parti-parti komponen Barisan Nasional yang sentiasa memperlekehkan undang-undang Syariah terutamanya di kalangan pemimpin-pemimpin MCA.

Malah sehingga hari ini, MCA sentiasa menyalahkan DAP sebagai parti yang memperkuatkan PAS dalam PRU13 sehingga UMNO tidak berani menghalang PAS untuk melaksanakan Hudud.

Justeru itu, kenyataan Hadi mempertahankan parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MCA, MIC dan Gerakan dan menuduh DAP sebagai tidak beradap dan memusuhi Islam amatlah dikesali dan tidak adil sama sekali. Apakah ini sebahagian daripada syarat UMNO membenarkan beliau membentangkan usul RUU Persendirian di Parlimen dan membantu UMNO menentang DAP? – Roketkini.com

*Kenyataan media Ketua Whip DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pada 28 Mei 2016 di Kuala Lumpur.