Berita

Didakwa terima harta curi, laporan polis dibuat terhadap Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Sebuah laporan polis hari ini dibuat di Balai di Polis Dang Wangi ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan menerima harta curi dengan curang dan menolong menyembunyikan harta curi serta kesalahan-kesalahan lain di bawah Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Selain Najib, turut dilaporkan atas dakwaan yang sama ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pemilik Good Star Limited (secara manfaat) Low Thaek Jo (Jho Low).

Menurut Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, berdasarkan laporan dan pendedahan media, ketiga-tiga mereka mempunya kaitan melibatkan skandal mega 1MDB.

“Saya merujuk kepada laporan berita Bernama bertajuk ‘Najib: Bank Negara has lodge police report against WSJ.’

“Najib dirujuk sebagai penandatangan tunggal dana 1MDB manakala Shahrol pula sebagai orang yang mengesahkan pemindahan wang manakala pemilik Good Star pula sebagai penerima akhir wang tersebut.

“Berita itu menyatakan bahawa akhbar WSJ melaporkan Good Star Limited adalah dimiliki secara manfaat oleh Jho Low,” jelas beliau.

Dalam sebuah laporan, WSJ mendakwa bahawa Bank Negara telah menulis surat yang mengesahkan bahawa Good Star Limited dimiliki oleh jutawan Low Taek Jho. Akhbar antarabangsa itu malah menyiarkan salinan surat terbabit yang selama ini enggan didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin.

Hasan malah menafikan syarikat Good Star Limited adalah milik Jho Low dan menyatakan perkara tersebut sudah selesai kerana PAC telah membentangkan laporannya.

Tindakan Hasan itu telah mengundang kritikan dan membangkitkan lebih banyak persoalan terhadap siasatan PAC ke atas skandal mega berbilion ringgit membabitkan Perdana Menteri.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan boleh menyebabkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan pula boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. -Roketkini.com