Berita

Hasan Arifin lindungi Jho Low?

PETALING JAYA, 29 MEI: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin nampak bersungguh-sungguh cuba menyembunyikan hubungan antara Jho Low dengan Good Star Limited dan 1MDB.

Sedangkan, dalam pendedahan terbaru Wall Street Journal, jelas melalui surat yang disiarkan akhbar antarabangsa itu bahawa Bank Negara telah mengesahkan bahawa Good Star Limited dimiliki oleh jutawan Low Taek Jho.

Menyifatkan penafian Hasan itu sebagai keterlaluan, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua mempersoalkan adakah kerana maklumat itu bertaraf risikan, maka kesahihan maklumat tersebut tidak boleh diterima?

“Pada masa yang sama, beliau telah cuai untuk menyatakan bahawa Bank Negara boleh membenarkan PAC menggunakan maklumat tersebut untuk diterbitkan PAC dengan syarat, kebenaran daripada negara-negara penyiasat terlibat diperolehi melalui Bank Negara terlebih dahulu.

“Surat Bank Negara itu boleh memberi petunjuk terbaru kepada PAC dalam siasatannya terhadap penyelewengan berbilion ringgit ini,” jelas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, sambil menambah bahawa PAC boleh memanggil Jho Low untuk memberi keterangan.

“Persoalan utama yang perlu dijawab Hasan sekarang kenapa beliau cuba sedaya-upaya menafikan hubungan Jho Low dengan Good Star sehinggakan beliau kelihatan seperti badut.

“Adakah beliau menafikanya kerana Jho Low merupakan kunci kepada seluruh misteri bagaimana berbilion-bilion ringgit boleh pergi kepada Najib dan dan keluarganya?” – Roketkini.com