Berita

MCA lebih gigih serang PAS, bukan DAP

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Amat tidak wajar PAS menuduh DAP tidak beradab dan memusuhi Islam sedangkan sewaktu era Pakatan Rakyat, DAP banyak mempertahankan PAS daripada serangan jahat parti komponen BN khususnya MCA.

“Semasa era Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpin DAP banyak mempertahankan PAS di kalangan masyarakat bukan Islam daripada serangan parti-parti komponen Barisan Nasional yang sentiasa memperlekehkan undang-undang Syariah terutamanya di kalangan pemimpin-pemimpin MCA,” jelas Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke.

Menurutnya sehingga hari ini, MCA yang menjadi pak turut UMNO itu sentiasa menyalahkan DAP sebagai parti yang memperkuatkan PAS dalam PRU13 sehingga UMNO tidak berani menghalang PAS untuk melaksanakan Hudud.

“Kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MCA, MIC dan Gerakan dan menuduh DAP sebagai tidak beradab dan memusuhi Islam amatlah dikesali dan tidak adil sama sekali.

“Apakah ini sebahagian daripada syarat UMNO membenarkan beliau membentangkan usul RUU Persendirian di Parlimen dan membantu UMNO menentang DAP?” soalnya.

Menegaskan kenyataannya, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, dalam hujah tidak bersetuju dengan PAS berkait isu hudud selama ini, pemimpin-pemimpin DAP tidak pernah memperlekehkan undang-undang Syariah apatah lagi ingin memusuhi umat Islam.

“DAP tidak pernah anti-Islam. DAP tidak bersetuju atas prinsip ia tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak pratikal dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

“Pendirian inilah yang kami pegang selama kami bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat dari tahun 2008 sehingga 2015,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, yang menjadi pertikaian Ahli-ahli Parlimen DAP pada Khamis lalu adalah berkenaan prosedur Peraturan Mesyuarat dan tujuan pihak kerajaan membenarkan usul Rang Undang-undang Persendirian Hadi yang dilihat bermotifkan politik.

“Kami mempersoalkan mengapa tiba-tiba pihak kerajaan membenarkan usul tersebut dibentangkan tanpa sebarang notis dan seolah-olah untuk “memerangkap” Ahli-ahli Parlimen yang langsung tidak bersedia untuk membahaskan pindaan Rang Undang-undang tersebut,” jelasnya. – Roketkini.com