Berita

DAP Johor perkasa organisasi, fokus PRU14

JOHOR BAHRU, 1 JUN: DAP Johor mengambil langkah strategik melibatkan penstrukturan semula organisasi bagi mempersiapkan jentera negeri menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Sehubungan itu, DAP Johor telah memutuskan agar satu Jawatankuasa Persediaan Pilihanraya diwujudkan serta penyusunan semula beberapa portfolio jawatankuasa negeri sedia ada semasa mesyuarat pada 29 Mei lalu.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong ketika dihubungi Roketkini berkata langkah itu penting agar semua ahli jawatankuasa DAP Johor dapat memberi sepenuh fokus kepada tugas masing-masing tanpa berlaku sebarang pertindihan skop kerja pada masa akan datang.

“Matlamat utama kita buat masa ini ialah untuk memberi tumpuan terhadap PRU 14. Namun, pada masa sama, ada tugas-tugas lain yang perlu dipikul oleh jawatankuasa negeri.

“Jadi, melalui penstrukturan semula ini, mereka yang terlibat dalam jentera pilihanraya boleh fokus sepenuhnya kepada PRU14. Pada masa sama, mereka yang berada dalam jawatankuasa negeri boleh fokus kepada tugas dalam jawatankuasa negeri,” katanya.

Setiausaha Organisasi Negeri, Lim Eng Guan melepaskan jawatannya bagi memberi fokus kepada tugas sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Pilihanraya dan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Negeri.

Jawatan beliau akan digantikan oleh mantan Bendahari Organisasi Negeri, Ng Yak Howe.

Senarai penuh ahli-ahli Jawatankuasa Persediaan Pilihanraya DAP Johor adalah seperti berikut;

Pengerusi: Liew Chin Tong
Timbalan Pengerusi: Lim Eng Guan
Setiausaha: Ng Yak Howe
Setiausaha Eksekutif: Chung Yi Fan
AJK: Teo Nie Ching, S. Ramakrishnan, Sheikh Omar Ali, Ee Chin Li, Tan Hong Pin, Low Tuck Chuan

Manakala, senarai ahli-ahli jawatankuasa DAP Johor yang terlibat dalah penukaran portfolio adalah;

Penolong Setiausaha: Chen Kah Eng (Mantan AJK negeri)
Bendahari: George Poh (Mantan Penolong Bendahari)
Setiausaha Organisasi: Ng Yak Howe (Mantan Bendahari)
Penolong Setiausaha Organisasi: Yeo Tung Siong (Mantan Penolong Setiausaha), Ee Chin Li (Mantan AJK negeri) – Roketkini.com