Berita

Kuasa Imigresen sekat rakyat ke luar negara masih dibincangkan mahkamah

 

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Ketua Pengarah Jabatan Imigresen tidak mempunyai sebarang kedudukan undang-undang untuk menghalang seseorang warganegara Malaysia daripada ke luar kerana memburukkan kerajaan, kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Sehubungan itu, kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sukib Kasmi semalam bahawa beliau diberi kuasa di bawah Seksyen 3(2) Akta Imigresen untuk menyekat mana-mana pihak dari ke luar negara adalah tidak relevan.

Malah, Gobind berkata, undang-undang itu hanya menyatakan bahawa Sukib diberi kuasa untuk menghalang kemasukan seseorang individu ke dalam Malaysia, namun tidak ada peruntukan khusus yang memberi kuasa kepada beliau untuk menyekat sesiapa ke luar negara.

“Akta itu sendiri mencerminkan bahawa Parlimen tidak berniat untuk memberi kuasa kepada Ketua Pengarah bagi menghalang sesiapa daripada meninggalkan negara ini, apalagi jika ia dilakukan dengan sewenang-wenang.

“Selain itu, akta tersebut juga tidak memberikan budi bicara mutlak kepada beliau untuk menentukan jenis-jenis perlakuan yang membolehkan seseorang itu dilarang keluar,” ujar Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP.

Semalam, Sukib dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau diberi kuasa untuk membuat senarai individu yang dilarang meninggalkan negara selain mendapat nasihat daripada agensi penguatkuasaan lain.

Kenyataan beliau mendapat kritikan ramai pengamal undang-undang yang menjelaskan bahawa kerajaan tidak ada kuasa am yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk menyekat seseorang ke luar negara sesuka hati mereka.

Pada masa sama, Gobind memberitahu keputusan sama ada kuasa Ketua Pengarah dibenarkan melakukan demikian atau tidak sedang dibahaskan di mahkamah.

“Perkara itu masih menjadi perbincangan mahkamah dalam kes sekatan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua ke luar negara oleh Jabatan Imigresen pada Julai tahun lalu, jadi ia sepatutnya tidak boleh diputuskan oleh mana-mana pihak lagi di ruang awam.

“Datuk Sakib tidak patut mengeluarkan kenyataan tersebut secara terbuka. Beliau perlu menghormati mahkamah dan tidak menegaskan sesuatu yang masih belum diputuskan.

“Ia adalah tugas mahkamah untuk memutuskan sama ada Akta Imigresen tersebut memberi beliau sebarang kuasa atau tidak untuk mengharamkan sesiapa melancong ke luar negara,” katanya. – Roketkini.com